Siakap Keli
Gambar: Bernama

Karsten Neitzel Jurulatih Baharu Selangor

KUALA LUMPUR, 16 Nov — Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) hari ini mengumumkan pelantikan Karsten Nitzel sebagai ketua jurulatih pasukan Red Giants, untuk kempen Liga Malaysia (Liga-M) 2021.

Jurulatih berusia 52 tahun berasal dari Jerman dan pernah bermain untuk pasukan Freiburg di Bundesliga tiba di Malaysia pertengahan bulan lepas dan telah melengkapkan proses kuarantin ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) minggu lepas.

Dalam satu kenyataan Pengarah Teknikal Selangor Michael Fiechtenbeiner berkata, Nietzel adalah orang yang tepat untuk membawa Selangor ke paras yang lebih tinggi berikutan pengalaman 10 tahun dalam kejurulatihan, terutamanya menguruskan pasukan Bochum VFL, SV Eleversberg serta membawa Holstein Kiel ke Divisyen Dua Liga Jerman.

“Pertamanya, saya kenal beliau (Karsten) dengan baik, kerana beliau pernah bermain untuk saya. Dia seorang pemain tengah yang bagus dan bermain dengan pasukan saya di divisyen dua, sebelum kemudiannya bermain di Bundesliga. Beliau seorang pemain yang kuat.”

“Beliau mempunyai sikap yang bagus, kerja keras dan sentiasa mahu membuktikan diri beliau di Asia. Jadi saya rasa beliau akan mempunyai motivasi bagus untuk menjadi jurulatih di Malaysia untuk Selangor,” katanya.

Neitzel sebelum ini merupakan pengurus pasukan Divisyen 4 Jerman, Kelab RW Essen sebelum menjadi penasihat kepada SW Essen dan menjadi timbalan ketua jurulatih di Liga Jepun (JLeague) bersama Urawa Reds.

Menurut Feichtenbeiner, Neitzel juga mampu untuk membawa bakat baru untuk bermain pasukan utama Selangor.

“Adalah penting untuk projek kami melahirkan pemain sendiri bermain di Liga-M. Jadi kami perlukan ketua jurulatih yang terbuka untuk menggunakan pemain muda. Bukanlah mudah untuk mengambil pemain muda kerana mereka sering melakukan kesilapan, namun Karsten adalah jurulatih yang berani. Jika beliau nampak kualiti yang bagus pada pemain muda, beliau akan berikan mereka peluang,” katanya.

Sementara itu, Neitzel tahu bahawa adalah penting untuk beliau mengembalikan kepercayaan peminat Red Giants.

“Tentunya adalah bagus untuk yakinkan orang ramai terhadap kelab dengan memenangi perlawanan. Dalam beberapa minggu lepas, pasukan telahpun mula memberikan pertunjukan yang baik. Saya mempunyai rasa yang bagus (dengan pasukan). Saya telah tonton banyak perlawanan pasukan utama dan saya rasa, kita mempunyai satu pasukan yang berkualiti,” katanya.

Sumber: BERNAMA