Siakap Keli

Solat Jumaat, Fardu Di Zon Hijau, Kuning Di Perak Dibenarkan Mulai Hari Selasa

IPOH, 17 Nov — Solat Jumaat dan fardu di masjid dan surau dalam zon hijau dan kuning di Perak dibenarkan bermula hari ini berasaskan had kapasiti keluasan sebenar ruang utama dewan solat dengan mengambil kira penjarakan fizikal antara jemaah.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) Shahrul Azam Shaari berkata keputusan itu diperkenan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah selepas menimbangkan sembah nasihat daripada Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak, berpandukan garis panduan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM).

Beliau berkata pada masa ini, kebenaran itu hanya bagi warganegara Malaysia dengan identiti setiap jemaah perlu disemak dan direkodkan sebelum dibenar masuk ke ruang solat mengikut prosedur operasi  standard ditetapkan.

Katanya, semua aktiviti keagamaan seperti ceramah, kuliah pengajian antara maghrib dan isyak serta selepas solat subuh, kuliah duha, bacaan Yasin dan tahlil juga dibenarkan.

“Pelaksanaan solat fardu lima waktu yang dilaksanakan secara berjemaah dan aktiviti keagamaan di seluruh masjid dan surau di negeri ini juga dibuka kepada muslimah di ruang khas yang disediakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Shahrul Azam berkata pelaksanaan solat Jumaat di masjid dan surau di zon merah pula masih kekal iaitu digantikan dengan solat zohor di rumah masing-masing sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Solat berjemaah pada setiap solat fardu hanya boleh dilaksanakan oleh enam orang terdiri dalam  kalangan pegawai masjid dan ahli jawatankuasa kariah, manakala semua aktiviti keagamaan di masjid dan surau ditangguhkan,” katanya.

Menurutnya, jawatankuasa kariah atau pegawai masjid perlu memberikan peringatan dan penerangan ringkas kepada jemaah untuk mematuhi garis panduan sebelum solat Jumaat, solat berjemaah pada setiap solat fardu dan aktiviti keagamaan dimulakan.

— BERNAMA