Siakap Keli

Kucing Jadi Hero, Kejar Gajah Yang Ceroboh Masuk Ke Halaman Rumah Tuannya

Seekor kucing peliharaan di Thailand mengejutkan pemiliknya apabila bertindak berani mengejar seekor gajah empat tan yang menceroboh taman di halaman rumah tuannya.

Simba yang berusia tiga tahun, menyedari kedatangan gajah berkenan untuk mencari makanan di Nakhon Nayok, pada Selasa malam.

Namun, Simba yang bertugas sebagai ‘pengawal keselamatan’ di rumah, tidak gentar melihat gajah itu walaupun ukurannya berkali-kali ganda besar dan mampu membunuh manusia hanya dengan satu langkah.

Menerusi gambar yang sempat dirakam, gajah liar itu dilihat sedang rakus merosakkan tanaman sebelum berlalu pergi setelah dihampiri oleh Simba dengan posisi ingin menyerang.

Menurut pemilik rumah, kucing peliharaannya memang bersifat agresif dan tidak menggemari kehadiran haiwan lain memasuki wilayahnya.

Kata penduduk, gajah berusia 35 tahun bernama Pai Salick tersebut merupakan ‘gangguan’ kepada mereka kerana sering memijak kebun orang untuk mencari makanan.

Renjer taman tempatan, Amnat Norasin berkata: ”Gajah tinggal di hutan tetapi dia sering berjalan-jalan di sekitar rumah pada waktu malam untuk mencari makanan. Orang tahu ia merupakan gajah yang sama,” katanya.

Dianggarkan 2,000 gajah tinggal secara liar di Thailand dan jumlah yang sama juga berada dalam kurungan. Mereka berkeliaran di pelusuk hutan dan di taman-taman negara yang dilindungi.

Difahamkan, gajah adalah haiwan yang dilindungi di Thailand dan membunuhnya membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun dan denda 1,000 baht (RM135.57).

Sumber: Daily Mail

Jom follow kami di Youtube Siakap Keli Review

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.