Siakap Keli
harga bawang india
Kredit: Google

Kenaikan Harga Bawang Dari India Tidak Dapat Dielak Berikutan Tengkujuh – Rosol

BATU PAHAT, 21 Nov — Kenaikan harga bawang besar dari India tidak dapat dielakkan kerana pengimportan bahan masakan itu agak berkurangan ketika ini akibat musim tengkujuh dan bencana banjir di negara berkenaan.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Rosol Wahid berkata pengguna perlu bersabar, dan menggunakan bawang dari beberapa negara seperti Thailand, Pakistan, China, Belanda, Myanmar serta Indonesia sebagai alternatif, yang bekalannya mencukupi dan harganya masih kekal sama.

“Bagaimanapun, saya dapati pengguna di negara ini lebih gemar menggunakan bawang yang diimport dari India kerana ia mempunyai rasa yang tersendiri berbanding bawang yang dibekalkan negara-negara lain,” katanya pada sidang media selepas melawat kilang pengeluar telur ayam Teo Seng Capital Berhad, di Yong Peng, dekat sini hari ini.

Timbalan Ketua Setiausaha Pendayaupayaan Pengguna Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Mohamed Zahari Razali dan Pengarah Eksekutif Kumpulan Leong Hup International Berhad Tan Sri Lau Tuang Nguang turut hadir pada lawatan itu.

“Pihak kementerian akan terus mencari dan mendapatkan sumber bekalan bawang dari negara-negara pengimport bawang yang lain bagi memenuhi permintaan pengguna negara ini,” kata Rosol.

Dalam pada itu, beliau berkata KPDNHEP turut menjamin bekalan bahan makanan mencukupi ketika ini dan membenarkan pihak pemborong menyediakan bekalan makanan serta keperluan asas melebihi 30 peratus daripada kuota bekalan biasa semasa musim tengkujuh.

Sumber: BERNAMA