Siakap Keli
Kredit: Google

Lelaki Maut Digilis Kereta Api Di Beaufort

BEAUFORT, 22 Nov (Bernama) — Seorang lelaki maut dipercayai dilanggar kereta api dalam kejadian di Batu 62 ½ di sini petang semalam.

Ketua Polis Daerah Beaufort DSP Azmir Abd Razak berkata Sabiri Idong, 56, maut di tempat kejadian susulan kecederaan parah pada leher dan dada.

Polis menerima laporan kejadian daripada pemandu kereta api Johan James, 47, pada 5.20 petang hari kejadian yang mendakwa tidak menyedari berlaku kemalangan hinggalah dimaklumkan oleh ketua stesen, katanya dalam kenyataan.

“Siasatan mendapati pengadu memandu kereta api dari Stesen Beaufort ke Stesen Halogilat pada kira-kira 1.30 tengah hari dan selepas menurunkan penumpang, dia berpatah balik ke Beaufort dan tiba di stesen itu kira-kira 3 petang,” katanya.

Menurutnya pemandu kereta api itu mendakwa tidak melihat sesiapa berada di landasan ketika perjalanan pulang.

Mayat mangsa ditemukan pada 3.30 petang oleh seorang lagi pemandu kereta api yang dalam perjalanan dari Stesen Halogilat ke Beaufort yang kemudiannya menghubungi ketua stesen, katanya.

Azmir berkata setakat ini kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan polis sedang menjalankan siasatan lanjut.

Sumber: BERNAMA

Amira

Love yourself.