Siakap Keli
Kredit: Daily Mail

Didakwa Bunuh Pesalah Pedofil Terkenal Di Asia Tenggara, Banduan Dilapor Hanya Ketawa Ketika Digelar ‘Psikopath’

Seorang lelaki yang didakwa telah membunuh pesalah pedofil pada tahun lalu dilaporkan hanya tertawa ketika digelar ‘psikopath’ oleh hakim yang menjatuhkan hukuman ke atasnya, lapor Daily Mail.

Menurut portal itu, tertuduh, Paul, 30 tahun telah disabitkan hukuman sekurang-kurangnya 34 tahun penjara setelah membunuh Richard Huckle, 33 pada Oktober tahun lalu.

Menyifatkan tindakannya sebagai ‘keadilan’ terhadap mangsa pedofil, Paul didakwa mencekik dan menyeksa mangsa di dalam sel penjara, lapor portal berkenaan.

“Anda adalah psikopath yang mendapat kenikmatan daripada bayangan menyeksa, merogol, membunuh dan sekalipun memakan orang lain,” kata hakim seperti ditulis Daily Mail.

“Anda masuk ke dalam selnya dan merancang untuk memperkosa dan membunuhnya. Dan jika boleh, memasak dan memakan bahagian (badannya).

“Anda lakukan ini untuk kepuasan sendiri dan menegakkan keadilan. Anda juga melakukan ini untuk mendapatkan bantuan dan dirujuk ke unit keselamatan tinggi,” ujarnya.

Pelaku yang didakwa mempunyai rekod pertuduhan tidak bermoral sejak berusia 13 dan 15 tahun itu juga disifatkan sebagai seorang yang sadistik.

“Saya yakin anda sedar ketika memutuskan untuk membunuhnya. Seperti apa yang anda katakan sendiri, anda telah melakukan pembunuhan berdarah sejuk,” tambahnya.

Huckle telah diikat dan didera secara seksual sebelum kepalanya dihantuk ke lantai sebanyak enam atau tujuh kali. Pegawai penjara yang bergegas ke sel yang menempatkan mangsa didakwa melihat pelaku membisikkan sesuatu ke telinga mangsa.

Kedua-dua mereka telah ditempatkan di sel khusus pesalah seksual dan banduan yang menghadapi kesukaran hidup di dalam penjara.

Sebelum ini, pelaku dikatakan mengalami gangguan personaliti dan perlu memakan ubat. Pun begitu, dia dilaporkan tidak dipreskripsikan sebarang ubat ketika waktu pembunuhan.

Sementara itu, Huckle telah dihukum sekurangnya 25 tahun penjara sejak 2016 atas tuduhan melakukan jenayah seksual ke atas kira-kira 200 kanak-kanak dalam tempoh sembilan tahun. Antara mangsanya ialah kanak-kanak di Malaysia termasuk bayi berusia enam bulan.

Dia dilaporkan ditangkap setelah berkongsi gambar dan video penderaan seksual terhadap kanak-kanak dengan golongan pedofil seluruh dunia dipercayai bagi mendapatkan wang melalui gambar tersebut. Malah, ketika ditahan, dia dikatakan sedang merangka manual pedofil 60 muka surat sebelum ditumpaskan oleh Agensi Jenayah Kebangsaan, lapor Daily Mail.

Sumber: Daily Mail

Amira

Love yourself.