Siakap Keli
Kredit: Bernama

18,796 Unit Rumah Mampu Milik Diluluskan Sejak Mei 2018 Hingga Oktober

SEREMBAN, 27 Nov (Bernama) — Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini diberitahu, di bawah Dasar Perumahan Negeri Sembilan, sebanyak 18,796 unit Rumah Mampu Milik (RMM) telah diluluskan kebenaran merancang di seluruh negeri, bagi tempoh Mei 2018 hingga Oktober lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesejahteraan Bandar, Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru Negeri Sembilan Teo Kok Seong berkata dari jumlah itu, ia merangkumi 5,794 unit RMM jenis A, RMM jenis B (6,287 unit) dan RMM jenis C (6,715 unit).

“Kerajaan negeri juga telah melaksanakan lebih lapan sesi undian RMM jenis A bagi projek-projek perumahan swasta di Negeri Sembilan. Di bawah pendekatan ini, akan terdapat projek-projek perumahan baru yang menawarkan rumah-rumah mampu milik, mengikut kemampuan pendapatan masyarakat,” katanya pada sesi Pertanyaan Lisan pada Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Ketiga, DUN Negeri Sembilan hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Suhaimi Kasim (PH-Lenggeng) yang ingin tahu bilakah kerajaan ingin memulakan projek pembinaan rumah mampu milik di bawah kerajaan negeri.

Mengulas lanjut, Teo (PH-Bahau) menjelaskan kerajaan negeri juga telah mengemukakan 11 tapak tanah milik kerajaan negeri bagi pembangunan perumahan di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR) oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Mengenai pembangunan perumahan awam yang dilaksanakan oleh agensi persekutuan seperti Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), Teo berkata sebanyak 3,379 unit Rumah Mesra Rakyat (RMR) telah siap dibina manakala 275 unit dalam proses pembinaan.

Seramai 210 orang pemohon telah diluluskan permohonan mereka dan ia diperingkat penyelarasan dokumen perjanjian, katanya.

Sementara itu, Teo juga berkata kerajaan negeri juga telah mengembalikan semula peranan Perbadanan Kemajuan Negeri, Negeri Sembilan (PKNNS) dalam pembangunan perumahan di negeri ini.

“Projek Perumahan Penjawat Awam Negeri Sembilan yang berharga RM90,000 dan RM250,000 merupakan projek rintis yang dilaksanakan oleh PKNNS dalam kawasan S2 Height di Seremban. Selain itu, PKNNS juga telah diberi mandat untuk mengenal pasti dan membangunkan perumahan mampu milik atas tanah-tanah kerajaan negeri,” katanya.

Sumber: BERNAMA

Amira

Love yourself.