Siakap Keli

Apa yang Ibu Bapa Perlu Tahu Tentang Pengenalan Vaksin 6-Dalam-1 di Bawah Program Imunisasi Kebangsaan Bayi dan Kanak-Kanak

Penyakit berjangkit berpunca daripada mikroorganisma patogen penyebab penyakit seperti bakteria, virus, parasit atau kulat. Ia boleh merebak ke manusia melalui pelbagai cara termasuklah tersebar dari individu-ke-individu melalui sentuhan terus, bawaan air dan makanan, penyebaran zarah-zarah jangkitan di udara atau melalui serangga seperti nyamuk.

Program Imunisasi Kebangsaan (NIP) merupakan satu inisiatif kerajaan dalam membendung penularan penyakit berjangkit. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah memperkenalkan NIP sejak tahun 1950-an dengan memberikan suntikan vaksin secara percuma kepada kanak-kanak di Malaysia.

Pada masa ini, NIP melindungi kanak-kanak daripada dua-belas (12) penyakit cegahan vaksin termasuklah tuberkulosis, Hepatitis B, difteria, tetanus, batuk kokol (pertusis), polio, Haemophilus influenzae type b, campak, beguk, rubella, ensefalitis Jepun (JE), dan kanser yang disebabkan oleh virus papilloma manusia (HPV). Mereka akan menerima vaksin ini dalam tempoh 2 tahun pertama kelahiran, kecuali vaksin HPV yang diberikan kepada remaja perempuan pada umur 13 tahun. Dos penggalak bagi beberapa vaksin turut diberikan semasa umur persekolahan.

Sejak NIP diperkenalkan, penambahbaikan dilakukan dari masa ke semasa, antaranya pengenalan vaksin Hepatitis B pada tahun 1989, vaksin Haemophilus influenzae type b (Hib) serta Campak-Beguk-Rubella (MMR) pada tahun 2002 dan vaksin kombinasi 5-dalam-1 pada tahun 2008, bagi memastikan pelaksanaannya selari dengan perkembangan saintifik dan teknologi vaksin dan mengambil saranan dari Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Ini penting dalam memastikan imunisasi dapat memberikan perlindungan yang lengkap dan optimum kepada kanak-kanak di Malaysia.

Pada tahun ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sekali lagi membuat penambahbaikan kepada NIP dengan memperkenalkan vaksin 6-dalam-1 dan mengumumkan jadual imunisasi baharu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dato’ Seri Dr. Noor Hisham Abdullah, telah mengeluarkan kenyataan beliau baru-baru ini berkenaan dengan pengenalan vaksin ini dan perubahan jadual imunisasi baharu bagi kanak-kanak yang mendapatkan imunisasi di klinik-klinik Kesihatan KKM. Beliau berkata, “Pertukaran jadual imunisasi ini dilaksanakan susulan pertukaran jenis vaksin yang digunakan iaitu vaksin kombinasi 5-dalam-1 yang ditukar kepada vaksin kombinasi 6-dalam-1 di bawah Program Imunisasi Kebangsaan bagi kanak-kanak. Pertukaran pelaksanaan dilaksanakan secara berperingkat, yang akan bermula seawal bulan November 2020 bergantung kepada ketersediaan bekalan vaksin ini di fasiliti kesihatan KKM.”

Kebaikan Vaksin ‘6-Dalam-1’

Dr Jamiatul Aida Md Sani, Ketua Penolong Pengarah Kanan di Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan Malaysia berkata langkah pengenalan vaksin 6-dalam-1 di dalam NIP ini dibuat hasil pertimbangan secara teliti oleh Jawatankuasa Dasar dan Amalan Imunisasi Kebangsaan.

Beliau menjelaskan bahawa penggunaan vaksin 6-dalam-1 di dalam Program Imunisasi Kebangsaan telah dilakukan oleh 49 buah negara di dunia. Sejajar dengan perkembangan di negara-negara maju yang lain, pertukaran vaksin 6-dalam-1 adalah langkah ke hadapan yang baik.

Beliau menjelaskan, sebelum ini, vaksin 5 serangkai (5-dalam-1) yang mencegah penyakit difteria, tetanus, pertusis, polio dan Haemophilus influenzae type b (Hib) diberikan sebanyak 4 dos kepada setiap kanak-kanak pada umur 2, 3, 5 dan 18 bulan. Manakala, vaksin Hepatitis B pula diberi secara berasingan sebanyak 3 dos kepada setiap kanak-kanak selepas lahir dan pada umur 1 dan 6 bulan. Ini bermakna 7 suntikan diperlukan untuk mencegah 6 penyakit ini.

Beliau menambah, “Pertukaran kepada vaksin 6 serangkai (6-dalam-1) yang mencegah penyakit difteria, tetanus, pertusis, polio, Haemophilus influenzae type b (Hib) dan Hepatitis B memberi manfaat kepada kanak-kanak, di mana hanya 4 dos vaksin diperlukan bagi setiap kanak-kanak (2, 3, 5 dan 18 bulan). Manakala, vaksin Hepatitis B secara berasingan hanya perlu diberi sebanyak satu suntikan sahaja selepas lahir. Ini bermakna, bilangan suntikan berkurang kepada 5 suntikan untuk mencegah 6 penyakit.”

Enam (6) Penyakit Yang Dicegah Oleh Vaksin ‘6-Dalam-1’

Difteria Jangkitan pada tekak dan hidung yang boleh menyebabkan kesukaran bernafas, kegagalan jantung, lumpuh dan kematian.
Tetanus (Kancing Gigi) Jangkitan pada sistem saraf yang boleh menyebabkan kekejangan otot terutama pada bahagian rahang dan leher dan sering menyebabkan kematian.
Pertusis (Batuk Kokol) Jangkitan pada saluran pernafasan yang boleh menyebabkan radang paru-paru, sawan, radang otak yang membawa maut
Poliomyelitis Jangkitan pada sistem saraf yang boleh menyebabkan kelumpuhan kekal dan boleh membawa maut
Hepatitis B Jangkitan pada hati yang boleh menyebabkan kerosakan hati yang teruk dan mengakibatkan kanser hati
Haemophilus influenzae type b Jangkitan yang menyebabkan radang pada selaput otak, jangkitan kuman dalam darah dan radang paru-paru serta boleh membawa maut

Dr Rozita Binti Ab Rahman, Ketua Penolong Pengarah Kanan di Unit Imunisasi, Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga, Kementerian Kesihatan Malaysia berkata terdapat beberapa kelebihan dalam penggunaan vaksin 6-dalam-1 ini. Yang paling utama, bilangan suntikan yang diperlukan serta temujanji imunisasi oleh seseorang bayi di Klinik Kesihatan dapat dikurangkan.

“Kebaikan kedua adalah dari sudut keselesaan bayi itu sendiri. Suntikan meskipun sekejap, ia menyakitkan untuk bayi. Jika kurang suntikan, kuranglah episod kesakitan dan tangisan. Ketiganya, kakitangan kesihatan akan mempunyai lebih banyak masa semasa temu janji berkala untuk menjalankan penilaian-penilaian kesihatan dan perkembangan bayi yang lain seperti tumbesaran, perkembangan deria dan intelek mereka.”

Vaksin 6-dalam-1 Selamat Untuk Anak

Puan Norleen bt Mohamad Ali, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Seksyen Farmakovigilans di Pusat Komplians & Kawalan Kualiti, Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) turut berkongsi pandangan beliau berkaitan keselamatan vaksin 6-dalam-

Beliau berkata, “Vaksin 6-dalam-1 adalah selamat digunakan. Sama seperti vaksin-vaksin yang lain, vaksin ini turut melalui beberapa fasa ujian klinikal termasuk yang berskala besar sebelum ianya boleh digunakan secara komersial. Ini adalah bagi menjamin keberkesanan dan keselamatan vaksin berkenaan kepada penerimanya.”

“Di Malaysia pula, sebelum vaksin tersebut boleh dipasarkan dan digunakan, ia perlu melalui proses pendaftaran yang ketat dan teliti oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD), Kementerian Kesihatan Malaysia. Setelah vaksin berkenaan didaftarkan, barulah vaksin tersebut boleh digunakan dalam Program Immunisasi Kebangsaan.”

Puan Norleen meneruskan, “Vaksin ini bukanlah baharu digunakan di Malaysia. Sehingga Oktober 2020, terdapat dua produk vaksin 6-dalam-1 yang berdaftar di Malaysia dan penggunaannya bertambah saban tahun. Kedua-dua vaksin ini masing-masing telah digunakan di fasiliti-fasiliti kesihatan swasta pada tahun 2006 dan 2013.”

Puan Norleen turut menyatakan, “Di Malaysia, majoriti laporan kesan advers susulan immunisasi atau lebih dikenali sebagai AEFI yang diterima bagi vaksin ini adalah ringan dan boleh sembuh dalam beberapa hari dengan atau tanpa rawatan.  Pola laporan kesan advers bagi vaksin ini adalah sama seperti vaksin – vaksin lain. Namun begitu, tidak dapat dinafikan ada juga AEFI serius, akan tetapi ianya sangat jarang berlaku. Para ibu bapa adalah digalakkan untuk melaporkan kesan sampingan yang dialami selepas menerima suntikan vaksin walaupun ianya kesan sampingan ringan seperti demam, bengkak dan kemerahan pada tempat suntikan.”

“Seperti vaksin lain juga, pihak NPRA sentiasa menjalankan pemantauan yang teliti ke atas vaksin 6-dalam-1 ini. Semua AEFI, tidak kira ringan atau serius perlu dilaporkan.” Beliau menyatakan bahawa ibu bapa boleh membuat pelaporan sama ada melalui anggota kesihatan atau boleh terus melaporkan kepada NPRA melalui pelaporan atas talian di laman sesawang NPRA, www.npra.gov.my, dengan klik pada tab “Pengguna” dan seterusnya pilih “ConSERF pelaporan atas talian”.

Pn Norleen terus meyakinkan ibu bapa bahawa vaksin 6-dalam-1 ini adalah selamat digunakan. Beliau menyimpulkan, “Kebaikan dan manfaat vaksin dalam mencegah penyakit adalah lebih tinggi berbanding dengan risiko mendapat AEFI yang lazimnya ringan dan tidak memudaratkan.”

Pandangan Pakar Kanak-Kanak

Pengerusi program Immunise4Life dan Pakar Perunding Pediatrik dan Kardiologi Pediatrik, Datuk Dr Zulkifli Ismail menyambut baik perubahan yang dibuat oleh pihak KKM dalam memperkenalkan vaksin 6-dalam-1 di dalam jadual imunisasi baharu. Beliau berkata, “Keputusan KKM memberikan vaksin ini kepada bayi dan kanak-kanak di Malaysia adalah sesuatu yang baik.”

Beliau turut berkongsi pengalaman beliau menggunakan vaksin ini di fasiliti kesihatan swasta sejak ianya diluluskan kemasukannya di Malaysia. “Saya telah memberikan vaksin ini kepada bayi dan kanak-kanak di fasiliti kesihatan swasta selama bertahun-tahun.”

Menurut beliau, sepanjang pengalamannya memberikan vaksin ini kepada bayi, tiada kesan-kesan buruk yang dialami oleh bayi yang dilaporkan oleh ibu bapa. Bayi mungkin menangis sekejap setelah menerima suntikan vaksin tetapi ianya adalah normal. Mereka akan berhenti menangis setelah dipujuk atau disusukan dan ini bukanlah sesuatu yang perlu dibimbangkan.

Tambahan beliau, “Kesan sampingan ringan yang lain termasuklah kerengsaan, sakit dan kemerahan pada tempat suntikan. Kebanyakan bayi tidak menunjukkan sebarang reaksi langsung.”

Dr Rozita, Dr Aida, Pn Norleen dan Datuk Dr Zulkifli kesemuanya bersetuju bahawa perubahan penggunaan vaksin 6-dalam-1 di dalam jadual imunisasi yang baharu adalah satu keputusan yang baik. Mereka melihat penggunaan vaksin 6-dalam-1 ini memberi manfaat kepada ibu bapa dan kanak-kanak di Malaysia.

Artikel ini dibawakan oleh program Immunise4Life oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, Persatuan Pediatrik Malaysia dan Persatuan Penyakit Berjangkit & Kemoterapi Malaysia dan disokong oleh inisiatif ‘Vaccination is Protection for Kids’. Untuk maklumat lanjut, layari www.ifl.my