Siakap Keli
Gambar Via Bernama

Malaysia Dapat Bekalan 12.8 Juta Dos Vaksin COVID-19 Pfizer Tahun Depan- PM

PUTRAJAYA, 27 Nov (Bernama) — Malaysia akan mendapatkan bekalan 12.8 juta dos vaksin COVID-19 daripada syarikat farmaseutikal Pfizer bagi menampung keperluan imunisasi 20 peratus atau 6.4 juta rakyat negara ini, demikian menurut Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Perdana Menteri berkata penghantaran bekalan pertama sebanyak satu juta dos akan dibuat pada suku pertama tahun depan disusuli dengan 1.7 juta (suku kedua), 5.8 juta (suku ketiga) dan 4.3 juta dos pada suku keempat tahun depan.

Beliau berkata pemerolehan bekalan daripada Pfizer itu adalah hasil perjanjian pembelian awal ditandatangani kerajaan dengan syarikat itu melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Selasa lalu.

“Perjanjian dengan syarikat berkenaan bertujuan memastikan kerajaan mempunyai akses kepada data untuk menilai kualiti, keselamatan dan keberkesanan di samping menjamin akses kepada vaksin itu sekiranya sedia untuk diedarkan oleh pihak syarikat.

“Pfizer pada 9 Nov lalu menyatakan bahawa analisis data interim pertama menunjukkan keberkesanan vaksin adalah 95 peratus,” katanya pada sidang media di sini.

Sidang media berkenaan turut dihadiri Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin.

Sumber: Bernama

Sofea

There's always another side to every story