Sempena Minggu Kesedaran Migrain, kempen kesedaran penyakit selama sebulan ini memberi tumpuan kepada penyakit yang dianggarkan menjejaskan 3.6 juta rakyat Malaysia, ramai antaranya wanita yang berada pada usia paling produktif1
Dianggarkan 3.6 juta rakyat Malaysia hidup dengan migrain, selaras dengan kadar prevalens global dalam kalangan orang dewasa iaitu sekitar 15 peratus, namun salah diagnosis dan amalan mengubati diri sendiri masih lazim, manakala kebanyakan penjagaan masih bergantung kepada klinik penjagaan primer yang sibuk.
Migrain menjejaskan wanita kira-kira tiga kali ganda lebih ramai berbanding lelaki dan memuncak antara usia 35 hingga 39 tahun, manakala penyelidikan global meletakkannya sebagai punca utama ketidakupayaan dalam kalangan wanita berusia bawah 50 tahun.
Satu kajian dalam sektor perbankan Malaysia menganggarkan kerugian akibat presentisme (hadir bekerja tetapi tidak dapat berfungsi sepenuhnya) sekitar RM25,000 setahun bagi seorang pekerja yang mengalami migrain lebih daripada tiga hari sebulan, dengan kes yang teruk menambah kira-kira RM12,000 akibat ketidakhadiran.
KUALA LUMPUR, 31 OKTOBER 2026 – Migrain merupakan antara penyakit neurologi yang paling lazim di Malaysia, namun ramai daripada kira-kira 3.6 juta rakyat Malaysia yang menghidapinya telah bertahun-tahun bergantung kepada ubat tahan sakit tanpa preskripsi, tanpa pernah mendengar perkataan migrain daripada doktor. Serangan migrain boleh berlarutan antara empat jam hingga tiga hari, disertai sakit berdenyut yang kerap berlaku pada sebelah kepala, loya, serta kepekaan terhadap cahaya dan bunyi yang boleh menjadikan hari bekerja biasa terasa tidak tertanggung. Sesetengah individu turut mengalami aura, iaitu gangguan amaran seperti penglihatan yang berkilau yang muncul sebelum kesakitan bermula. Oleh sebab semua ini tidak kelihatan dari luar, mereka yang menanggungnya terlalu kerap dilabel sebagai melebih-lebih, tertekan atau lemah, lalu belajar memberikan jawapan yang sama seperti jutaan yang lain: ia hanya sakit kepala biasa.
Sempena Minggu Kesedaran Migrain, Pfizer Malaysia telah melancarkan “The Purple Timeout”, sebuah kempen kesedaran penyakit tentang migrain yang berlangsung sepanjang bulan Oktober. Kempen ini meminjam jeda yang paling dihormati dalam dunia sukan. ‘Timeout’ ialah hentian strategik yang diambil oleh sesebuah pasukan demi memenangi apa yang menanti seterusnya; migrain pula memaksa ‘timeout’ yang tidak pernah dipilih oleh sesiapa. “The Purple Timeout” mengajak rakyat Malaysia mengambil satu ‘timeout’ dengan sengaja: enam puluh saat, dalam warna ungu, iaitu warna kesedaran migrain yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, demi jutaan insan yang tidak mampu sekadar meneruskan permainan.

Sepanjang bulan ini, kempen menampilkan kandungan pendidikan mingguan di saluran media sosial Pfizer Malaysia, perbualan bersama pakar klinikal yang merawat gangguan sakit kepala, serta aktiviti komuniti di sekitar Lembah Klang, dengan kemuncaknya pagi sukan komuniti pada penghujung Oktober. Baju peserta akan memaparkan satu ayat sahaja: Ask me why I'm in purple (Tanya saya mengapa saya berpakaian ungu). Sepanjang bulan ini, hab pendidikan kempen di www.migrainecare.com.my menghimpunkan maklumat penting di satu tempat, daripada memahami penyakit ini hinggalah membuat persediaan sebelum berjumpa doktor.
“Migrain merupakan antara penyakit neurologi yang paling lazim di dunia, namun begitu ramai yang menghidapinya tidak pernah sekali pun membincangkannya dengan doktor. The Purple Timeout ialah ajakan kami untuk mengubah keadaan ini di Malaysia. Kami mahu mendekati masyarakat di tempat mereka berada, iaitu dalam komuniti, di tempat kerja dan dalam permainan hujung minggu mereka, serta menjadikan amalan berhenti seketika, memandang serius penyakit ini dan mendapatkan rawatan yang sewajarnya sebagai sesuatu yang biasa. Kesedaran tidak boleh berakhir sebaik sahaja minggu ini berlalu, dan begitu juga usaha kami. Sepanjang Oktober, kami akan terus menghidupkan perbualan ini, kerana setiap rakyat Malaysia yang hidup dengan migrain berhak untuk dilihat, dipercayai dan disokong,” kata Puan Deborah Seifert, Ketua Kluster, Pfizer Malaysia, Singapura, Indonesia dan Filipina.
Lebih Daripada Sekadar Sakit Kepala Teruk, dan Ramai Belum Didiagnosis
Kebanyakan penjagaan migrain di Malaysia dikendalikan oleh klinik penjagaan primer, tiada perkhidmatan sakit kepala khusus di peringkat kebangsaan, manakala salah diagnosis dan amalan mengubati diri sendiri adalah lazim. Ini bermakna bertahun-tahun boleh berlalu antara serangan pertama dengan diagnosis yang tepat.
“Migrain ialah antara keadaan neurologi yang paling kerap saya temui. Setelah diagnosis migrain disahkan melalui beberapa siri soalan dan punca serius yang lain diketepikan, perbincangan diperlukan untuk menentukan pelan rawatan. Ini melibatkan kesedaran tentang pengetahuan terkini, pendidikan dan strategi khusus. Migrain memberi kesan kepada setiap individu dengan pelbagai spektrum gejala, dan merekodkan gejala ini dalam diari sakit kepala dapat memberikan pemahaman yang lebih baik tentang migrain,” kata Dr. Julia Shahnaz Merican, Pakar Perunding Neurologi, Prince Court Medical Centre, Kuala Lumpur, dan Pengerusi, Headache Council, Malaysian Society of Neurosciences (MSN).
Tahun-Tahun yang Diragut Ialah Tahun-Tahun Terbaiknya
Migrain memuncak tepat pada tahun-tahun seorang wanita sedang membina kerjaya, membesarkan anak-anak dan menjadi tunjang kepada semua orang di sekelilingnya. Bebannya merebak lebih jauh: rancangan yang tidak lagi dibuat, majlis makan malam hari jadi yang hanya mampu diperhatikan dari bilik tidur yang gelap, persahabatan yang semakin renggang akibat pembatalan yang tidak pernah diingininya, serta tempat kerja yang kehilangan idea dan kepimpinannya pada hari-hari penyakit ini membuat keputusan untuknya. Angka daripada sektor perbankan hanya merakam apa yang boleh diukur: kira-kira RM25,000 setahun hilang akibat penurunan keberkesanan di tempat kerja bagi seorang pekerja yang kerap mengalami migrain, sebelum sehari pun cuti sakit diambil kira5.
“Migrain paling membebankan wanita dalam dekad kehidupan mereka yang paling sibuk, dan corak serangan lebih penting daripada mana-mana satu serangan. Perubahan hormon, tidur yang terganggu, makan tidak menentu dan tekanan masing-masing boleh memainkan peranan. Oleh itu, saya menggalakkan wanita merekodkan serangan dan kemungkinan pencetusnya, kerana rekod tersebut mengubah aduan yang samar-samar kepada maklumat yang boleh diambil tindakan oleh doktor. Apa yang paling saya mahu wanita fahami ialah migrain merupakan suatu keadaan perubatan, bukan kelemahan diri. Tiada sesiapa yang patut menerima hakikat kehilangan beberapa hari setiap bulan akibat sakit kepala, dan tiada wanita yang sepatutnya terpaksa membuktikan kesakitannya benar-benar wujud sebelum dipandang serius,” kata Profesor Madya Dr. Wan Aliaa Wan Sulaiman, Pakar Perunding Neurologi, Hospital Sultan Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia; Bendahari, Headache Council, Malaysian Society of Neurosciences.
Enam Puluh Saat yang Boleh Mengubah Sepuluh Tahun Akan Datang
Doktor menggunakan saringan migrain tiga soalan yang ringkas dan telah disahkan, yang hanya mengambil masa kira-kira seminit.

Orang dewasa yang mengalami sakit kepala yang kerap berulang, disertai loya atau kepekaan terhadap cahaya dan bunyi, atau yang mengehadkan kerja, pengajian atau kehidupan berkeluarga mereka, digalakkan untuk berbincang dengan profesional kesihatan dan bertanyakan satu soalan mudah: “Doktor, mungkinkah sakit kepala saya ini migrain?” Untuk mengetahui lebih lanjut tentang migrain dan cara memulakan perbualan tersebut, layari www.migrainecare.com.my.
