Siakap Keli

Wanita Pertama Ditawar Bernyanyi Di Luar Negara, Ini Perjalanan Hidup Biduan Negara, ‘Saloma’

Sebut saja nama Saloma pasti semua akan terkenang dan mengingati lagu dan filem-filem yang dilakonkan oleh Saloma. Jasa dan pengorbanan beliau dalam indsutri seni tanah air terlalu banyak sehingga generasi-generasi muda pada hari ini masih menghayati setiap karya yang dipersembahkan di kaca tv atau di mana-mana platform yang menjadi pilihan.

Saloma atau nama sebenarnya Salmah Ismail dilahirkan pada 22 Januari 1935 dilahirkan di Pasir Panjang, Singapura. Beliau mula mengasah bakat dalam bidang nyanyian bermula pada umur 7 tahun dan meneruskan nyanyian sehingga menjadi penyanyi professional sehingga umurnya meningkat belasan. Beliau pernah cuba untuk mengasah bakat dengan lebih mendalam iaitu berkolabrasi dengan Orkes Fajar Murni di bawah kepimpinan Yusof Osman.

Antara lagu yang membuatkan beliau dipandang tinggi dalam bidang nyanyian ialah lagu Pandang Kasih di bawah ciptaan Rahmat Ali. Lagu tersebut telah melonjakkan nama sehingga beliau menerima banyak tawaran dari Orkestra Singapura untuk menjadi penyanyi utama mereka. Oleh itu, kecenderungan Saloma dalam bidang nyanyian masih diteruskan dan tidak terfikir untuk melibatkan diri dalam lakonan.

Perjalanan Saloma Dalam Industri Seni

Bakat nyanyian beliau telah menarik minat banyak syarikat yang ternama untuk mengambil beliau dalam bidang nyanyian. Saloma pernah ditawarkan untuk membuat kontrak dengan sebagai penyanyi di Perth, Australia dan menjadi wanita pertama mendapat kontrak di luar negara. Sepanjang beliau menyanyi di Australia, beliau banyak membuat persembahahan nyanyian di beberapa kelab malam yang terpilih seperti Oriental Hotel dan  Melbourne dan nyanyian beliau banyak disiarkan di televisyen.

Tamatnya kontrak di Perth, Australia beliau juga ditawarkan untuk membuat kontrak  menyanyi di kelab malam Tanglin, Golden Venus dan juga pernah menyanyi di Ocean Park Hotel Percy Proctors band. Selain itu juga, Saloma banyak melibatkan diri dengan nyanyian dalam filem-filem yang diterbitkan sekitar tahun 50-an.  Disebabkan itu, Saloma terus terlibat dalam dunia lakonan antaranya filem Seniman Bujang Lapok (1961), Ragam P. Ramlee (1964) dan Ahmad Albab (1968).

Setelah beliau bergiat aktif dalam dunia nyanyian dan lakonan, sebuah syarikat Shaw Brothers telah menawarkan beliau untuk bekerja bersamanya dan diberi nama yang lebih komersial iaitu Saloma. Panggilan Saloma diberi berdasarkan satu filem berjudul “Salome’’ yang dibintangi oleh  Rita Hayworth.

Saloma pernah diberi penganugerahan Biduanita Negara Pertama dalam negara iaitu pada tahun 1978 dan mendapat gelaran Puan Sri Datin Amar pada tahun 1990.

sumber : Google

Lagu Saloma

P.Ramlee banyak menciptakan lagu untuk Saloma disebabkan kemerduan suaranya membuatkan ramai terpegun dan terpukau. Saloma telah merakamkan lebih daripada 200 buah lagu termasuk lagu-lagu yang digunakan dalam filem-filem walaupun beliau tidak terlibat secara aktif dalam lakonan pada masa itu.

Antara lagu-lagunya ialah Bila Larut Malam, Tiru Macam Saya, Sekapur Sirih Seulas Pinang, Bossanova, Tari Tualang Tiga, Kasihnya Ibu, Mengapa Dirindu dan banyak lagi. Kebanyakan lagu Saloma pada Ketika itu banyak dimainkan dalam filem-filem, radio dan piring hitam disebabkan atas permintai ramai yang meliputi pelbagai genre dalam nyanyian tersebut.

Perkahwinan Saloma

Detik-detik perkahwinan Saloma mempunyai pelbagai cabaran dan rintangan sepanjang beliau mendirikan rumah tangga. Beliau pernah berkahwin sebanyak 3 kali dan perkahwinan pertamanya dengan A.R Tompel tidak kekal lama ketika usianya belasan tahun.

Kemudian, Saloma berkahwin semula buat kali kedua dengan rakan sekelasnya iaitu Kaswan Yusak.  Namun perkahwinan mereka bertahan selama 3 bulan dan mereka membuat keputusan untuk bercerai di atas sebab-sebab tersendiri.

Sumber : Google

Perkahwinan kali ketiga membuatkan Saloma semakin kuat dan matang menghadapi cabaran dalam rumah tangga. Beliau telah berkahwin dengan pelakon filem terkenal iaitu P.Ramlee ketika beliau berusia 25 tahun. Perkahwinan mereka memberikan kebahagiaan dalam hidup Saloma dan beliau sangat menyayangi suaminya itu sehingga suaminya menghembuskan nafas yang terakhir pada tahun 1973 ketika usia suaminya berumur 44 tahun.

    Sumber : Google

Kematian Saloma

Selepas pemergian suaminya, P. Ramlee, Saloma tidak dapat menguruskan dirinya kerana dibelengggu dengan kesedihan mengenangkan pemergiaan arwah suaminya yang paling disayangi. Hal ini telah menyebabkan kesihatan beliau semakin merosot dan membuatkan badannya semakin lemah, kurus dan uzur. Beliau telah meninggalkan karier beliau ketika usianya 48 tahun disebabkan penyakit kuning dan telah menghembuskan nafas terakhir pada 25 April 1983 di Hospital Assunta, Petaling Jaya.

Oleh itu, pemergiaan Saloma masih lagi dirasai sehingga sekarang kerana beliau banyak menyumbangkan jasa terhadap industri seni tanah air. Kemerduan suaranya dan bakat yang diperolehi tidak mampu dimiliki oleh sesiapa. Namun, Saloma banyak memberi sumber inspirasi kepada wanita-wanita di luar sana bagi mendapatkan ilham dalam bidang nyanyian, personaltinya juga membuatkan orang ramai mengkagumi dan ingin pelajari untuk memperbaiki diri supaya menjadi wanita yang kuat dan lebih cekal serta tabah melayari kehidupan yang penuh dengan cabaran.

Rujukan

(1) The Straits Times (1961) Singer Saloma, 25, is new wife of film star Ramlee. Sumber dipetik daripada https://eresources.nlb.gov.sg/newspapers/Digitised/Article/straitstimes19611121-1.2.55?ST=1&AT=search&k=saloma%20married&QT=saloma,married&oref=article

(2) Last.fm (2010) Saloma. Sumber dipetik daripada https://www.last.fm/music/Saloma/+wiki?ver=3

(3) The Straits Times (1957) Saloma marries her evening class friend. Sumber dipetik daripada https://eresources.nlb.gov.sg/newspapers/Digitised/Article/straitstimes19570626-1.2.141?ST=1&AT=search&k=saloma%20married&QT=saloma,married&oref=article

(4) The Straits Times (1983) Saloma lives on in her songs. Sumber dipetik daripada https://eresources.nlb.gov.sg/newspapers/Digitised/Article/straitstimes19830428-1.2.121.6.1?ST=1&AT=search&k=saloma%20married&QT=saloma,married&oref=article

(5) Nur Fardilla Nadia Bt Abu Bakar (2018) Mengkaji Stail Nyanyian Saloma Daripada Perspektif Teknik
Vokal Klasikal Barat: Penggunaan Vokal Register. Sumber dipetik https://core.ac.uk/download/pdf/268880144.pdf