Siakap Keli

Sayu, Majlis Kahwin Bertukar Kenduri Doa Tahlil, Gadis Meninggal Dunia Sehari Sebelum Diijabkabul

Siapa menyangka, hari bahagia yang dinantikan oleh pasangan ini akhirnya bertukar menjadi duka apabila pengantin perempuan pergi secara tiba-tiba sehari sebelum majlis pernikahannya.

Segala persiapan sudah dilakukan termasuk pelamin, khemah, bahkan hidangan juga sudah mula disiapkan oleh orang kampung bagi menyambut kehadiran tetamu untuk meraikan hari bahagia pasangan itu.

 

Menerusi laporan Tribun News, gadis yang berasal dari Kotamobagu, Daerah Sulawesi Utara itu sepatutnya melangsungkan pernikahan di rumahnya pada Isnin (30 November).

Dua hari sebelum majlis, arwah dikatakan telah pergi ke rumah bakal suaminya di Desa Bakan bagi menghantarkan baju untuk dipakai oleh lelaki itu pada hari pernikahan mereka.

Namun begitu, bapa arwah berkata, dia mendapat panggilan mengejutkan memberitahu bahawa arwah berada di hospital kerana tidak sedarkan diri.

”Rakannya memberitahu saya arwah berada di hospital dan tidak sedarkan diri kerana meminum racun.

”Saya bergegas ke hospital dan sempat singgah bertemu calon menantu untuk mengetahui kejadian sebenar.

“Saya tanya anak saya di mana, dia beritahu di hospital. Kemudian saya tanya, anak saya minum racun di mana, dia kata tidak tahu,” kata bapanya.

Setelah sehari dirawat, arwah akhirnya menghembuskan nafas terakhir pada Ahad malam (29 November), sehari sebelum majlis pernikahannya berlangsung.

Majlis tersebut tetap diteruskan dengan majlis tahlil yang dihadiri oleh jemputan yang merasa sugul atas kejadian yang menimpa keluarga berkenaan.

 

Setakat ini, polis telah menerima laporan daripada keluarga arwah dan akan menyiasat punca sebenar kejadian berdasarkan hasil bedah siasat yang akan diketahui dalam masa terdekat.

Sumber: Indo Zone, Tribun News

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.