Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Lelaki Sempat Kahwin Sehari Sebelum Jalani Hukuman Mati

Lelaki Kahwin Sehari Sebelum Hukuman Mati
Kredit: AFP

Seorang lelaki Iran sempat berkahwin dengan tunangnya sehari sebelum dihukum mati, selepas ditahan berhubung kes protes di Isfahan.

Alireza Sepahi, 25, ditahan pada 10 Januari lalu berhubung insiden protes di Dataran Alikhani yang menyaksikan empat anggota polis terbunuh.

Sepahi kemudian berkahwin dengan Mahshad Kashani, 22, menerusi panggilan telefon yang diatur peguam sehari sebelum hukuman mati dilaksanakan.

Kashani turut dipenjarakan berhubung protes berkenaan, menyebabkan pasangan itu tidak dibenarkan bertemu secara bersemuka buat kali terakhir sebelum hukuman dilaksanakan.

Lelaki Kahwin Sehari Sebelum Hukuman Mati

Peguam Sepahi mengatur panggilan audio dengan Kashani yang berada di penjara lain di Isfahan untuk melafazkan akad nikah sebelum kematiannya.

Menurut rakaman audio yang dikongsikan beberapa kumpulan hak asasi manusia, kedua-dua bapa pasangan itu memberikan persetujuan terhadap perkahwinan tersebut.

Mas kahwin yang dipersetujui pula terdiri daripada senaskhah al-Quran, seketul gula-gula batu dan sekuntum mawar merah.

Namun, pihak penjara enggan membenarkan pasangan itu bertemu secara bersemuka untuk kali terakhir sebelum Sepahi dihukum mati.

Peguam mereka berharap perkahwinan tersebut mungkin dapat menangguhkan hukuman, namun harapan itu tidak menjadi kenyataan.

Roya Boroumand, pengasas bersama Pusat Abdorrahman Boroumand, berkata pasangan itu tetap berkahwin secara tidak bersemuka melalui proses yang sah.

Akhirnya Dihukum Gantung

Pada pagi 5 Oktober, Sepahi akhirnya dihukum gantung di Penjara Pusat Isfahan selepas berbulan-bulan menunggu pelaksanaan hukuman tersebut bersama Alireza Raissi, 21.

Menurut pihak berkuasa Iran, empat anggota polis terbunuh dalam kejadian tersebut, manakala kedua-duanya disabitkan atas pertuduhan menyertai kumpulan bersenjata.

Mereka turut disabitkan atas pertuduhan membahayakan keselamatan negara, menurut agensi kehakiman Iran, Mizan.

Pernah Terselamat Selepas Serangan Jantung

Sepahi sebelum ini dijadualkan menjalani hukuman gantung secara terbuka pada 28 Julai di Dataran Alikhani bersama dua lelaki lain.

Namun, hukuman tersebut ditangguhkan selepas Sepahi mengalami serangan jantung tidak lama sebelum pelaksanaan dijadualkan berlangsung.

Mai Sato, pelapor khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai hak asasi manusia di Iran, berkata Sepahi kemudian dibawa ke hospital.

Dia dibenarkan keluar beberapa hari kemudian sebelum dikembalikan ke penjara dan terus hidup dalam ketakutan menunggu hukuman mati.

Dua lelaki lain yang dijadualkan dihukum bersamanya tetap menjalani hukuman gantung secara terbuka pada hari tersebut.

Kes Dipertikai Kumpulan Hak Asasi

Sepahi ditahan pada 10 Januari, hanya beberapa hari selepas insiden di Dataran Alikhani yang menjadi asas kepada kes berkenaan.

Ibunya turut ditahan ketika itu dan masih menjalani hukuman penjara selama lima tahun berhubung kes tersebut.

Seramai 12 individu termasuk Sepahi dijatuhi hukuman mati dalam kes berkenaan, manakala dua daripadanya telah dihukum mati pada 19 Julai lalu.

Menurut Iran Human Rights, Iran kini telah melaksanakan hukuman mati terhadap 34 individu berhubung protes yang memuncak pada 8 dan 9 Januari.

Kumpulan hak asasi manusia turut mendakwa tindakan keras terhadap protes berkenaan menyebabkan ribuan orang terbunuh serta disusuli gangguan akses internet.

Selepas hukuman dilaksanakan, keluarga Sepahi turut berdepan kesukaran apabila mayatnya tidak dipulangkan untuk dikebumikan di Isfahan.

Sebaliknya, mayatnya dipindahkan ke Kashan yang terletak kira-kira 200 kilometer dari Isfahan, menurut pelapor khas PBB tersebut. - AFP

Intipati
  • Alireza Sepahi berkahwin dengan Mahshad Kashani melalui panggilan telefon sehari sebelum dihukum gantung.
  • Pihak penjara tidak membenarkan pasangan itu bertemu bersemuka sebelum hukuman mati dilaksanakan.
  • Kumpulan hak asasi mempertikai kes itu dan mendakwa tindakan keras protes mengorbankan ribuan orang.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan