Kuala Lumpur kekal menjadi ibu negara yang merekodkan bacaan Indeks Kualiti Udara (AQI) sangat tidak sihat pada pagi ini.
Berdasarkan data World Air Quality Ranking yang disiarkan menerusi IQAir secara langsung, Kuala Lumpur berada di kedudukan pertama dengan rekod kualiti udara AQI 215.
Malah, Kuala Lumpur kini mengatasi Lahore, Pakistan yang mencatat AQI 206 dan Delhi, India dengan AQI 182.
Udara Di Kuala Lumpur Paling Tercemar - IQAir

Selain itu, bandar lain yang turut menduduki 10 tangga teratas adalah Mumbai, India (179) Kinshasa, Republik Demokratik Congo (178), Dhaka, Bangladesh (168), Kolkata, India (167), Hanoi, Vietnam (166), Singapura (155) dan Milan, Italy (154).
Mengikut skala AQI US yang digunakan IQAir, bacaan antara 151 hingga 200 dikategorikan sebagai tidak sihat, manakala bacaan 201 hingga 300 berada pada tahap sangat tidak sihat.
Bagaimanapun, Jabatan Alam Sekitar Malaysia menggunakan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang dikira secara berbeza berbanding US AQI dan IQAir.
Setakat ini, Segamat, Johor mencatat bacaan IPU yang tinggi berbanding negeri lain dengan IPU 188, di paras tidak sihat.
Ia diikuti Nilai (183), Kluang (180), Pasir Gudang (179), Larkin (176), Rompin (176), Putrajaya (173), Bukit Rambal (173), Tangkak (173), Bandaraya Melaka (172) dan Shah Alam (170).

