Siakap Keli

Ada Unsur Rasuah Dalam Isu Penyeludupan Sempadan Negara – KPN

KUALA LUMPUR, 10 Dis (Bernama) — Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan terdapat unsur-unsur rasuah berhubung penyeludupan di sempadan negara baru-baru ini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata beliau telah mengarahkan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) melakukan siasatan terperinci berhubung perkara itu.

Beliau berkata JIPS telah diarahkan untuk menyiasat beberapa dakwaan dan menimbang beberapa bukti diterima, yang mengatakan berlakunya penyelewengan dalam kalangan Pasukan Gerakan Am (PGA) yang bertugas di sempadan negara.

“Masalah ini telah lama berlarutan sejak tahun lepas, Majlis Keselamatan Negara ada mendedahkan video penglibatan beberapa pegawai dan anggota PGA yang didapati bersekongkol dan tidak mengambil apa-apa tindakan ke atas perbuatan penyeludup yang didapati melakukan kegiatan itu di depan mata mereka.

“Saya sudah bagi amaran daripada dulu lagi, agar menghentikannya dan hasil gesaan-gesaan yang saya buat, beberapa individu telah tampil yang sanggup dan berani menyalurkan maklumat kepada saya mengenai amalan-amalan yang tidak baik ini (penyeludupan melibatkan PGA). Kami akan mengambil tindakan sekeras-kerasnya,” katanya dalam sidang media selepas majlis penyampaian sijil penghargaan kepada anggota-anggota polis di Bukit Aman, di sini.

Dalam perkembangan lain, Abdul Hamid berkata 10 jabatan di bawah PDRM antaranya Jabatan Siasatan Jenayah, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik dan Cawangan Khas diarah untuk mengembleng tenaga bagi menangani isu rasuah dan penyelewengan kuasa dalam kalangan para pegawai dan anggotanya.

“Saya telah mengarahkan satu tindakan holistik dilakukan melibatkan 10 jabatan dalam PDRM termasuk Jabatan Siasatan dan Pengurusan Trafik.

“Semua 10 (jabatan) ini bersatu tenaga untuk menggempur (mana-mana pegawai atau anggota) untuk dikenakan tindakan. Saya akan pastikan mereka yang hidup mewah dengan mengumpulkan harta-harta menerusi jalan yang salah ini akan dirampas balik dan kembalikan kepada negara,” katanya.

Beliau turut mengakui bahawa perbuatan terkutuk menerima rasuah ini mencemarkan imej  PDRM dan merosakkan negara.

”Terdapat ramai pegawai polis didapati telah dirasuah (oleh sindiket yang melakukan penyeludupan) dan ramai juga diantara mereka yang telah dikenakan tindakan tatatertib. Pada waktu yang sama juga, mereka (penyeludup) mencuri hasil-hasil yang sepatutnya masuk ke dalam kewangan negara dan menerusi penyeludupan ini juga mereka berjaya lari dari sistem pencukaian,” katanya.

Hari ini, Bernama melaporkan seorang anggota PGA ditahan kerana dipercayai cuba menyeludup masuk tiga migran melalui sempadan Kalimantan-Sarawak, di Tebakang, kira-kira 70 kilometer (km) dari sini, semalam.

Anggota yang ditahan itu bertugas di pos kawalan Ops Benteng di Tebedu, Sarawak.

— BERNAMA

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.