Siakap Keli

(Video) Tadika Tutup Sebab PKPB, Ustazah Ini Ketepikan Segala Cabaran, Gigih Ajar Anak Murid Dalam ‘Online Class’

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Mengajar kanak-kanak kecil tentang ilmu asas seperti mengenal huruf, nombor, warna, ejaan perkataan dan sebagainya memang mencabar.

Namun bagi seorang guru yang memang tergenggam kemas semangat mendidik dalam jiwanya, semua cabaran itu bukanlah satu masalah yang besar.

Bagaimana pun pandemik COVID-19 membataskan segala-galanya, turut terkesan sama ialah insitusi pendidikan, dari peringkat universiti sehinggalah ke tadika.

Seperti yang kita ketahui, apabila sesi pembelajaran secara fizikal ditangguhkan, maka alternatif yang ada bagi memastikan pengajian tersebut diteruskan adalah melalui kelas maya (online).

Kelas online mungkin nampak mudah bagi sesetengah pendidik, namun sebagai guru tadika seperti Nur Jehaada Ibrahim (gambar) yang mengajar kanak-kanak berusia empat hingga enam tahun, ia bukanlah semudah yang disangka.

Tangkap layar daripada video Tiktok Nur Jehaada

Nur Jehaada Ibrahim merupakan seorang guru Iqra’ yang mengajar ilmu-ilmu asas Al-Quran di sebuah tadika di Kuala Lumpur.

Namun sejak Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dikuatkuasakan, tadika terpaksa ditutup dan ia menyebabkan silibus pengajarannya tergantung.

Bagaimanapun, bagi memastikan proses penyampaian ilmu itu terus berjalan, Nur Jehaada menggunakan kaedah kelas online untuk mengajar Iqra’ kepada anak-anak muridnya.

“Sekarang kan PKPB jadi kena ajar anak-anak kecil tu secara online sebab tadika tutup.

“Selalunya di tadika boleh buat banyak aktiviti kan, tapi bila online ni banyak kekangan,” katanya ketika dihubungi Siakap Keli hari ini.

Tangkap layar daripada video Tiktok Nur Jaheeda

Banyak cabaran dihadapi

Menurut Jehaada, antara cabaran yang dihadapi sepanjang mengajar secara online ini adalah rangkaian internet yang selalu terputus, dalam masa sama kanak-kanak di rumah ada rutin mereka masing-masing.

Apatah lagi, dia perlu mengajar kesemua anak muridnya yang berjumlah 25 orang secara seorang demi seorang.

“Berbeza dengan sekolah, rutin kita sama. Bila kat rumah, kadangkala dorang tertidur, ada yang masih dalam mood bermain, ada yang tengah makan. Jadi cabarannya ialah kita kena pujuk mereka supaya belajar sekejap dengan kita,” katanya.

Selain itu, cabaran seterusnya adalah tidak banyak aktiviti yang boleh dilakukan bersama.

“Kalau di tadika, boleh menyanyi sama-sama, melukis, buat physical activities. Bila online, semua tu terhad. Kadang-kadang skrin phone pun kurang jelas,” tambahnya.

Tangkap layar daripada video Tiktok Nur Jaheeda

Namun menariknya, semua cabaran ini mampu ditangani dan dia juga mendapat sokongan serta kerjasama yang baik daripada penjaga.

“Tapi setakat ni semua ibu bapa dan penjaga mereka beri kerjasama yang sangat-sangat baik.

“Mereka bagus sangat. Sediakan tempat untuk anak belajar, ikut jadual yang kita berikan. Pakcik makcik, atuk nenek yang jaga anak-anak kecik ni pun beri kerjasama yang baik,” tambahnya lagi.

Jika dirujuk pada video dimuat naik ke akaun Tiktoknya, Nur Jehaada ‘gigih’ menggunakan segala macam cara untuk memberi pemahaman yang jelas kepada anak-anak kecil itu.

Lukisan, objek contoh, gaya muka, intonasi suara dan sebagainya perlu diaplikasikan semaksimum mungkin, semata-mata mahu ilmu Iqra’ itu ‘sampai’ kepada mereka.

Video tersebut turut dikongsikan ke laman Twitter hingga ditonton lebih 35,000 kali setakat ini.

Mari kita hayati video kesungguhan Jehaada yang sungguh menginspirasikan ini.

Sumber: Nur Jehaada Ibrahim

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'