Siakap Keli

Jumlah Tangkapan Makin Meningkat, PBT Diminta Bertegas Dengan Premis Kelab Malam – Ismail Sabri

PUTRAJAYA, 15 Dis – Pihak berkuasa tempatan diminta untuk terus bertegas dan tidak bertolak ansur kepada mana-mana premis kelab malam yang beroperasi ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia berikutan jumlah tangkapan bagi individu yang terlibat dengan aktiviti tersebut semakin meningkat dari hari ke hari.

Jelasnya, tindakan tegas (adalah dengan) menarik semula lesen premis tersebut yang sekaligus akan menghentikan operasi mereka untuk selama-lamanya jika masih berdegil.

“Kita semua bertanggungjawab sepenuhnya untuk mengekang dan seterusnya memutuskan rantaian COVID-19, maka kerana itulah setiap arahan dan peraturan yang telah dikeluarkan mestilah dipatuhi.

“Kita perlu mengawal penularan wabak ini, sekiranya kita tidak mendapat kerjasama yang baik daripada semua pihak, maka kita akan terus hidup selama-lamanya dengan pandemik ini,” katanya dalam sidang media perkembangan PKPP hari ini.

Untuk rekod, tangkapan individu di kelab malam yang beroperasi pada tempoh larangan PKPP pada 12 Dis lalu adalah merupakan yang tertinggi dengan 292 tangkapan.

Sumber: RTM

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'