Siakap Keli

Tular Kes Warga Emas Dikompaun Akibat Tidak Pakai Pelitup Muka, Ismail Sabri Jelaskan Maksud ‘Bersesak Di Tempat Awam’

PUTRAJAYA, 15 Dis – Masih terdapat kekeliruan berkenaan peraturan pemakaian pelitup muka di tempat awam seperti isu seorang individu warga emas dikompaun yang tular baru-baru ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ramai yang mempersoalkan peraturan tersebut berikutan ada yang masih tidak jelas dengan situasi ‘sesak’ yang dimaksudkan.

“Tempat awam banyak, taman awam adalah tempat awam. Tetapi bila bersendirian, maka tidak perlulah memakai pelitup muka kerana seperti yang saya katakan, di tempat awam yang bersesak.

“Kalau di pasar, bersesak. Kalau di dalam bas atau LRT, bersesak kerana duduk secara berhimpit dan sebagainya, maka perlulah dah diwajibkan memakai pelitup muka,” katanya dalam sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) hari ini.

Bagaimanapun jelasnya, pemakaian pelitup muka adalah tidak diwajibkan sekiranya seseorang individu itu bersendirian atau mengamalkan penjarakan fizikal di tempat tertentu.

“Sebagai contoh di restoran, kita tidak boleh memakai pelitup muka sewaktu makan, tentu sahaja kita akan buka.

“Tetapi kerana adanya penjarakan antara satu sama lain maka dibenarkan untuk tidak memakai pelitup muka,” tambahnya.

Jelas Ismail lagi, orang awam perlu memahami situasi ‘sesak’ dengan sebetulnya agar tidak berlaku lagi sebarang kekeliruan.

“Jadi perkataan yang perlu diingati adalah ‘bersesak di tempat awam’.

“Bersesak yang jadi perlu untuk memakai pelitup muka, jika tidak akan diambil tindakan dan sebagainya,” katanya.

Sumber: RTM

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'