Siakap Keli

Anggota Tentera Bersengkang Mata Siapkan Jambatan Sementara Buat Penduduk Raub

RAUB, 7 Jan – Peranan penting Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebagai barisan hadapan memang tidak dapat disangkal lagi, apabila pasukan itu menjadi antara yang terawal menghantar bantuan kepada mangsa banjir yang melanda beberapa negeri, terutamanya di pantai timur dan selatan tanah air.

Selain menghulurkan bantuan makanan kepada penduduk terjejas, anggota tentera turut bersengkang mata lebih 15 jam bagi membina jambatan sementara yang memberi manfaat kepada lebih 500 penduduk di Kampung Lenchar, Ulu Dong, di sini.

Jambatan Jalan Lenchar di Ulu Dong yang menjadi nadi utama penduduk setempat dan menghubungkan tiga kampung dan perumahan PRIMA Lenchar, runtuh akibat banjir, Ahad lepas.

Ketua Jurutera Rejiman Askar Jurutera Diraja (RAJD) Mejar Jen Datuk Chapiti Redzwan berkata kerja pemasangan panel jambatan sementara itu melibatkan 50 anggota daripada 91 Rejimen Bantuan yang bermula 12.30 tengah malam tadi.

“Pembinaan jambatan sementara atau ‘compact bailey’ dianggarkan memakan masa antara lapan hingga 15 jam dan dijangka siap sepenuhnya 8 malam ini,” katanya kepada Bernama selepas meninjau kerja pemasangan jambatan sementara itu di Kampung Lenchar, Ulu Dong, di sini hari ini.

Chapiti berkata pergerakan kerja anggota untuk pemasangan jambatan itu tidak akan berhenti kecuali keadaan cuaca seperti hujan lebat berterusan sehingga boleh berlakunya banjir di kawasan itu.

“Walaupun hujan lebat, kita tetap akan bekerja tapi mungkin ada halangan dari sudut faktor cuaca dan keadaan jalan kerana melibatkan kren untuk pembinaan ini,” katanya.

Beliau berkata penduduk boleh menggunakan jambatan yang berkapasiti 60 tan itu bermula malam ini sekiranya semuanya berjalan dengan lancar.

“Walaupun jarak runtuhan tersebut membabitkan tujuh meter daripada runtuhan asal  tetapi kita menyediakan jambatan sejauh 24 meter supaya kawasan tanah yang terdedah kepada hakisan dapat dikurangkan risiko dan lebih selamat,” katanya.

Beliau menambah, jambatan Compact Bailey 200 adalah jambatan peralatan yang dibekalkan Majlis Keselamatan Negara kepada Tentera Darat secara guna sama yang boleh dipasang sementara ataupun kekal dan ia sangat sesuai dibina bagi menghubungkan jalan perhubungan yang terputus, jika berlaku bencana alam.

— BERNAMA

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang