Siakap Keli
Gambar: Bernama

Fenomena Air Pasang Besar: Penduduk Rumah Atas Air Dinasihat Berpindah

KOTA KINABALU, 14 Jan — Penduduk di kawasan Kampung Tanjung Aru Tengah di sini dinasihatkan untuk berpindah, akibat fenomena air pasang besar yang membahayakan rumah mereka berlaku sekitar malam tadi.

Seorang penduduk Abu Bakar Jamian, 68, berkata laut bergelora dan angin kencang membuatkan ombak semakin besar serta paras air semakin tinggi, menyebabkan rumah mereka yang dibina di atas air itu tidak selamat untuk diduduki.

Katanya beliau bersama lima anaknya kini sedang sibuk memindahkan barangan berharga daripada rumah mereka, dan turut membantu jiran memindahkan barangan mereka ke tempat yang lebih selamat.

“Hari ini kita penduduk kampung diminta kosongkan rumah oleh pihak berkuasa, kerana khuatir malam ini air semakin naik, saya dan penduduk kampung juga telah buka lantai rumah supaya rumah kami tidak hanyut nanti.

“Syukur kita di kampung ada yang semangat kejiranannya tinggi, mana-mana yang tidak mampu berpindah itu kita bantu mereka,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Rahimah Che Asan, 54, berkata paras air laut naik akibat fenomena itu terjadi sejak awal minggu ini, namun malam tadi fenomena itu menjadi bertambah buruk, sehingga rumahnya dinaiki air dan dua rumah di kampung itu rosak.

Katanya beliau bersama tiga anak serta lapan cucunya serta penduduk kampung, kini sedang berpindah ke balai raya dan surau berdekatan dibantu pihak berkuasa, antaranya Angkatan Pertahanan Awam (APM).

“Malam tadi penduduk kampung sudah bagi tahu cepat keluar rumah kerana ada rumah air mula masuk, jadi saya dengan anak-anak bawa cucu dan barang yang boleh capai terus keluar rumah, untuk ke kawasan lebih selamat.

“Lama sudah tidak jadi air pasang bergini ada 20 tahun juga, alhamdulillah semua penduduk kampung selamat,” katanya.

Sementara itu jurucakap APM daerah Kota Kinabalu berkata, seramai 99 penduduk yang tinggal di 12 rumah di kampung itu, dinasihat berpindah kerana fenomena air pasang besar itu dan pihaknya kini sedang membantu mereka yang terkesan.

Beliau berkata sebuah rumah rosak teruk 80 peratus manakala sebuah lagi rosak 50 peratus, dan tinjauan anggota APM mendapati rumah tersebut tidak lagi selamat untuk diduduki.

“Tahap air didapati masih meningkat dan anggota APM membantu memindahkan mangsa serta barang penting daripada rumah terlibat. anggota APM juga bersiap siaga di lokasi dan memantau bagi memastikan penduduk selamat,” katanya.

Sumber: BERNAMA