Seorang lelaki telah ditahan kerana melanggar perintah berkurung selepas keluar dari rumahnya untuk membeli susu bayinya yang baru lahir, lapor Mirror.
Di bawah perintah berkurung coronavirus, Afrika Selatan mengehadkan pergerakan rakyatnya setiap malam yang bermula daripada jam 9 malam hingga ke 5 pagi.
Menurut laporan, lelaki tersebut telah bergegas membeli susu formula bayinya itu pada jam 1 pagi kerana bayinya yang berusia dua hari itu sukar untuk menghisap susu ibunya.
Lelaki itu difahamkan telah pergi ke farmasi di sebuah hospital pada hari Jumaat untuk membeli susu tersebut.
Dia telah diberhentikan oleh polis kira-kira 550 ela dari rumahnya dan telah ditangkap kerana melanggar perintah berkurung.
Menurut laporan daripada Fox 5, pegawai polis yang menahan lelaki itu tidak membenarkannya menghantar susu tersebut terlebih dahulu sebelum membawanya ke penjara.
Ibu kepada bayi berkenaan terpaksa membawa bayinya yang baru lahir itu di tengah-tengah malam untuk mengambil susu tersebut.
Sehari selepas kejadian itu, lelaki tersebut dibebaskan dan telah dijatuhkan hukuman di mahkamah pada minggu berikutnya, menurut laporan.
Siasatan terhadap kejadian itu telah dimulakan.
Kejadian itu telah dikongsikan di group Facebook tempatan bernama ‘Concerned Citizens South Africa’.
Perkongsian tersebut menyatakan: “Seorang ibu dan bayinya yang baru lahir terpaksa keluar berjalan di tengah-tengah malam bagi mengambil susu dan kunci kereta daripada suaminya yang ditangkap kerana melanggar perintah berkurung. Bayinya telah dilahirkan pada 6 Januari 2021.
“Ibu dan bayi tersebut telah discaj daripada hospital pada 7 Januari 2021. Berikutan daripada komplikasi untuk menyusukan bayinya, suaminya terpaksa bergegas ke hospital UNITAS untuk membeli susu. Dalam perjalanan pulang, kira-kira 450 meter dari rumahnya, dia telah ditangkap oleh Wierdabrug SAPS.
“Walaupun berjaya mendapatkan susu untuk bayinya, dia telah ditahan.”
Sumber: Mirror