Siakap Keli
Gambar: Oddity Central

Selepas Gagal Sebanyak 157 Kali, Lelaki ini Akhirnya Lulus Ujian Teori Pemanduan

Seorang lelaki dari UK dilaporkan berjaya lulus ujian pengetahuan memandu selepas gagal dalam ujian tersebut selama 157 kali.

Agensi Piawaian Memandu dan Kenderaan di Britain (DVSA) baru-baru ini melaporkan bahawa terdapat satu rekod baru berkaitan percubaan melepasi ujian pengetahuan memandu telah dipecahkan oleh seorang lelaki.

Lelaki tersebut dilaporkan berjaya lulus ujian teori itu selepas gagal melepasinya sebanyak 157 kali dan dilaporkan telah membelanjakan sebanyak £ 3,000 (RM 16529.89) dalam proses melepasi ujian tersebut.

Susulan daripada itu, beberapa media telah mencalonkan beberapa gelaran kepada lelaki itu antaranya ialah pemandu paling teruk di dunia manakala yang lain pula beranggapan bahawa lelaki tersebut adalah salah satu contoh kepada semangat kegigihan.

Gambar: Oddity Central

“Benar apa yang mereka katakan: Sekiranya pada mulanya anda tidak berjaya, cuba dan cuba lagi. Ujian memandu boleh menjadi salah satu cabaran yang paling sukar dalam hidup dan tak semua orang yang boleh lulus dengan hanya sekali percubaan,” Mark Tongue, kata pengarah Select Car Leasing kepada LAD Bible.

“Sama ada anda gagal sekali mahu pun sebanyak 157 kali, jangan pernah malu untuk terus berusaha dan mencubanya sekali lagi – dan sesiapa sahaja yang dapat melakukannya berhak untuk dipuji.”

Walaupun lelaki tersebut pada ketika ini menduduki tempat pertama bagi bilangan percubaan ujian pengetahuan memandu, dia difahamkan turut mempunyai persaingan yang tidak kurang hebatnya.

Data daripada DVSA menunjukkan bahawa jumlah kegagalan kedua terbanyak dimiliki oleh seorang wanita berusia 30-an yang telah menempuh ujian itu sebanyak 117 kali dan dilaporkan masih belum berjaya melepasinya.

Sementara itu, tempat ketiga pula dimiliki oleh seorang wanita yang berusia 48 tahun yang akhirnya lulus ujian tersebut dalam percubaannya yang ke 94 kali.

Sumber: Oddity Central