Siakap Keli
Gambar: Suara.com

Dipercayai Pura-Pura Jadi Mangsa Nahas Sriwijaya Air Untuk ‘Content’, Tindakan Individu Ini Undang Kemarahan Ramai

Ketika semua orang sedang meratapi nahas pesawat Sriwijaya Air SJ182, terdapat seseorang yang didakwa tergamak berpura-pura menjadi salah seorang mangsa nahas tersebut semata-mata demi konten, lapor suarabogor.id

Kandungan video yang dipercayai berpura-pura menjadi mangsa pesawat Sriwijaya Air SJ182 itu telah menjadi tular di media sosial. Susulan daripada itu, ramai warganet yang mengecam video berkenaan dan menganggap ianya bukanlah perkara yang lucu.

Video pendek itu telah dimuat naik oleh sebuah akaun TikTok milik seseorang. Kemudian, ianya dilaporkan telah dipadamkan oleh pemilik video akaun berkenaan.

Walaupun begitu, video tersebut telah dapat disimpan oleh warganet yang lain dan telah dimuat naik semula.

Dalam video yang pendek itu, dapat dilihat suasana pesawat yang telah rosak di dasar laut.

Pembuat video terbabit seolah-olah menjadi salah seorang mangsa nahas pesawat tersebut dan sedang terperangkap dalam pesawat yang tenggelam itu.

Di dalam video berkenaan, dapat dilihat bahawa terdapat tempat duduk dan bilik kawalan juruterbang mula berkarat.

“Akhirnya saya terselamat daripada pesawat Sriwijaya. Terima kasih kepada semua yang mendoakan saya,” tulisnya di dalam video tersebut.

Bukan itu sahaja, warganet juga turut dapat memuat naik satu lagi video pendek yang memaparkan keadaan pesawat tersebut sedang bergolak.

Dalam video berkenaan, dapat didengari suara penumpang menjerit ketakutan.

Ada penumpang yang melaungkan takbir dan menangis ketakutan ekoran pesawat yang dinaiki itu sedang bergolak.

“Ya Allah, pesawat ini akan jatuh, doakan saya agar saya selamat dan semua orang di dalam pesawat ini juga selamat,” ujarnya.

Kedua-dua video tersebut terus mendapat perhatian orang ramai. Ramai warganet yang marah dengan tindakan pembuat video tersebut yang dianggap tidak berperikemanusiaan.

“Tidak mempunyai hati!” kata seorang warganet.

“Jangan fikir nak tular dengan perkara sebegitu di saat orang masih sedang berduka,” kata seorang lagi warganet.

“Kenapa banyak sangat konten yang macam ini ketika orang semua sedang berduka. Tiada hati dan perasaan langsung dekat orang lain,” tulis seorang warganet.

Sumber: Suara.com

Aqmal Ezany

I write what is right