Siakap Keli
Gambar:@giewahyudi

Terharu, Tular Foto Ibu Bapa Selamatkan Anak Kecil Dari Banjir Guna Peti Ais Dan Kuali Buktikan Kasih Sayang Mereka

Beberapa gambar ibu bapa mangsa banjir yang berlaku di Kalimantan Selatan (Kalsel) baru-baru ini telah beredar di media sosial. Usaha mereka untuk menyelamatkan anak-anak mereka dari banjir ini telah menyentuh ramai hati warganet.

Seperti yang diketahui, kerana hujan yang turun secara berterusan dan air sungai yang melimpah, telah terjadi banjir besar di Kalimantan Selatan. Hingga kini, puluhan ribu rumah dilaporkan telah dinaiki air sehingga menyebabkan ratusan ribu penduduk kehilangan tempat tinggal.

Malah ada yang difahamkan masih lagi terperangkap akibat daripada banjir itu. Disebabkan itu, ada yang sedang berusaha menyelamatkan diri dan ahli keluarga mereka. Seperti yang dikongsikan oleh satu akaun Twitter bernama @giewahyudi ini memaparkan sejumlah gambar yang memaparkan usaha penyelamatan mangsa-mangsa banjir yang berlaku di Kalimantan Selatan itu.

“Macam-macam cara ibu bapa guna untuk menyelamatkan anak-anak mereka daripada banjir,” kata @giewahyudi pada perkongsian tersebut.

 

Dalam beberapa foto yang dimuat naik, kelihatan beberapa ibu bapa sedang menyelamatkan anak-anak mereka di tengah-tengah banjir. Pelbagai kaedah digunakan untuk memastikan anak-anak mereka selamat dan dalam keadaan selesa.

Seperti seorang ayah satu gambar ini, seorang lelaki yang dipercayai bapa kepada bayi tersebut telah memasukkan bayinya di dalam baldi, lalu mengangkatnya menggunakan kepalanya. Lelaki tersebut dilihat terpaksa meredah air yang pada ketika itu berada di paras lehernya bersama anaknya.

Ada juga yang meletakkan bayi mereka di dalam kuali. Bayi itu kelihatan sedang tidur dengan tenang di dalam kuali yang terapung. Untuk memastikan bahawa bayi tersebut selesa, ianya dilengkapi dengan bantal dan selimut.

Kemudian foto ketiga pula menunjukkan seorang lelaki membawa anaknya dengan menggunakan peti sejuk. Pintu peti sejuk itu dicabut dan barang-barang dikeluarkan bagi memasukkan bayinya sementara bapanya itu menolaknya.

Foto-foto tersebut telah menjadi tular di media sosial Twitter. Sehingga kini ianya telah mendapat ulang ciap sebanyak lebih 30 ribu kali dan Likes sebanyak kira-kira 101 ribu kali daripada warganet.

Warganet yang melihat foto tersebut turut menitipkan pesanan mereka.

“Apabila sudah dewasa nanti, jangan marah-marah sama ibu bapa anda. Mudahan-mudahan mereka semua dipanjangkan umur,” tulis seorang warganet.

Sumber: Kumparan.com

Aqmal Ezany

I write what is right