Siakap Keli
Gambar: Fox32

Suspek Curi Kereta Dilapor Berpatah Balik, Semata-mata Nak Marah ‘Owner’ Sebab Tinggal Anak Dalam Kereta

Seorang wanita di Oregon bernasib baik apabila anaknya yang ‘dilarikan’ bersama kereta yang dicuri dipulangkan semula ke pangkuannya.

Malah, menurut Fox32, suspek yang mencuri kenderaan itu sempat memarahi wanita berkenaan kerana meninggalkan si anak di dalam kereta bersendirian.

Suspek kemudiannya dikatakan beredar dari situ selepas menghantar kanak-kanak lelaki berusia empat tahun berkenaan.

Kejadian itu dilaporkan berlaku pada 9 pagi Sabtu di luar sebuah pasaraya di Beaverton ketika si ibu pergi membeli barang keperluan, lapor portal berkenaan.

Wanita itu dipercayai meninggalkan anaknya di dalam kereta yang masih hidup enjinnya, sebelum seorang lelaki tiba-tiba datang dan melarikan kenderaan itu. Suspek dipercayai tidak menyedari kehadiran kanak-kanak di dalamnya, tulis Fox32.

Bagaimanapun, suspek kemudiannya berpatah balik ke lokasi kejadian untuk ‘memulangkan’ kanak-kanak tersebut kepada ibunya. Malah, dia didakwa sempat menengking dan mengugut untuk menelefon polis bagi melaporkan kecuaian wanita itu meninggalkan anak di dalam kereta.

“Dia melompat ke dalam kereta, pandu, sedar ada kanak-kanak 4 tahun di dalam dan berpatah balik. Dia mengarahkan wanita itu mengambil anaknya keluar daripada kereta dan beredar dari situ,” kata pegawai polis Beaverton, Matt Henderson.

“Kami bersyukur dia ada timbang rasa untuk mengembalikan si kecil itu,” katanya seperti dilapor CNN.

Ibu kanak-kanak itu mendakwa anaknya tidak cedera dan mengaku telah membuat kesilapan yang besar.

“Sebagai ibu, kita jadi sangat sibuk dan kita fikir kita hanya pergi sekejap,” katanya.

“Ini adalah contoh sempurna kecuaian dan betapa buruknya pengakhiran yang boleh berlaku.”

“Saya bersyukur dia okay. Ia sangat bodoh dan saya tak akan lakukannya lagi, tetapi ia adalah keputusan beberapa detik yang boleh mengubah segalanya,” tambah wanita itu.

Polis telah menemui kenderaan jenis SUV, Honda Pilot keluaran 2013 beberapa jam kemudian namun masih memburu suspek yang dipercayai berusia dalam lingkungan 20-an hingga 30-an, lapor Fox32.

Sumber: Fox32

Amira

Love yourself.