Siakap Keli
Gambar Via Financial Times

‘Hilang’ Sejak Oktober Lalu, Jack Ma Dilaporkan Buat Kemunculan Pertama Hari Ini

Pengasas Kumpulan Alibaba, Jack Ma, dilaporkan telah membuat penampilan pertama sejak Oktober lalu dengan mengadakan pertemuan secara maya dengan 100 orang guru luar bandar di China, lapor CNA.

Pelbagai spekulasi mengenai keberadaan ahli perniagaan berprofil tinggi China itu berlegar di media sosial sejak bulan lalu setelah media tempatan melaporkan dia terlepas episod terakhir rancangan TV yang memaparkannya sebagai seorang hakim.

Jack Ma tidak muncul di khalayak umum sejak 24 Oktober ketika dia mengkritik sistem pengawalseliaan China dalam satu ucapan di forum Shanghai.

Yayasan Jack Ma mengatakan bahawa dia mengambil bahagian dalam program Inisiatif Guru Luar Bandar tahunan pada hari ini.

Melalui sidang video tersebut, Jack Ma memaklumkan bahawa para guru yang menerima Anugerah Guru Luar Bandar Jack Ma pada tahun-tahun sebelumnya akan menghadiri upacara yang dianjurkan oleh Yayasan Jack Ma di bandar Sanya di pinggir pantai China.

“Kita tidak dapat bertemu di Sanya kerana pandemik COVID-19.

“Apabila pandemik ini berakhir, kita mesti bertemu semula dan mencari masa untuk pergi ke Sanya,” katanya dalam video itu.

Pun begitu, dia tidak menjelaskan apa-apa mengenai ‘kehilangannya’ pada Oktober lalu itu.

Saham Alibaba yang tersenarai di Hong Kong melonjak lebih daripada enam peratus setelah laporan kemunculannya semula.

Sumber: CNA

Sofea

There's always another side to every story