Siakap Keli
Gambar: @deebulaneqa

Buat Beberapa Kerja Sejak 13 tahun, Gadis 19 Tahun Berjaya Hantar Ibu Ayah Ke Mekah & Miliki Syarikat Sdn Bhd Sendiri

Setiap ibu bapa sentiasa mahukan yang terbaik untuk anak-anak. Pelbagai pengorbanan dilakukan bagi memastikan anak-anak cukup makan pakai dan membesar dengan sihat. Malah, ada yang terpaksa terus bekerja biarpun umur sudah menjengah ke usia senja.

Bagi seorang wanita bernama Nur Atiqah (@deebulaneqa), perbualan ibu bapanya beberapa tahun lalu sentiasa segar di ingatan, membuatkan wanita ini cekal bekerja keras mencari wang untuk membantu si ayah menyara keluarga.

Sebagai anak nelayan, hidup mereka sekeluarga tidak mudah. Peristiwa yang menyentuh hati masih segar di ingatan Atiqah ketika si ayah membawa pulang wang RM30 selepas seharian turun ke laut.

“Masa tu umur saya dalam 14-15 tahun, ayah keluar dari pagi sampai malam cari udang. Bila balik, saya tanya berapa hasil yang dia dapat sebab sehari suntuk kat laut. Saya ingat mesti la banyak.

“Ayah dengan muka letih tu senyum je bagitahu, “Alhamdulillah dapat RM30.”

Jelas Atiqah, kata-kata ayahnya itu membuatkan dia nekad bekerja keras untuk mencari wang dengan titik peluh sendiri bagi membantu keluarga.

Bukan itu sahaja, kata-kata ibunya yang mengimpikan untuk menjejakkan kaki ke tanah suci juga sentiasa melekat di ingatannya.

“Pagi-pagi lepas subuh arwah mak suka tengok TV, siaran langsung Mekah tu. Perbualan dia dengan ayah selalu, “Semoga kaki kita sampai kat tanah suci suatu hari nanti ye bang”.

Gambar hiasan. (Kredit: Google)

“Benda tu la yang berulang-ulang kat telinga saya. Saya nekad, “Satu hari aku akan bawa mak ayah aku pergi umrah dengan duit hasil titik peluh aku sendiri,” ujar wanita itu.

Bagi merealisasikan hajat terpendam ibu dan ayahnya, Atiqah mengambil keputusan untuk bekerja seawal usia 13 tahun sebagai dropship.

“Umur saya 14-15 tahun macam tu saya dah mula cari duit sendiri. Saya jadi dropship orang. Dropship macam-macam benda. Minyak wangi, baju, kosmetik untuk kumpul modal buka kedai burger depan rumah.”

Selepas lebih kurang dua tahun mengumpul modal, anak gadis ini akhirnya berjaya membuka sebuah gerai burger diidamkannya.

“Umur 16 tahun saya berjaya buka kedai burger depan rumah hasil kumpul duit dropship tu. Saya tak minta kat mak ayah, sebab mak ayah saya orang susah, kan. Dari meniaga burger tu saya kumpul duit juga sikit-sikit untuk jadi agen produk orang.”

Tak mudah mencari wang. Kongsi Atiqah, dia perlu menaiki bas untuk ke pusat kurier bersama bungkusan besar tempahan pelanggan dengan kudrat sendiri. Hasil kerja kerasnya, Atiqah akhirnya berjaya membeli sebuah kereta untuk memudahkan pergerakannya ke sana sini.

“Beli stok, hasil jadi agen produk orang dan meniaga burger tu, umur saya 17 tahun saya berjaya beli kereta Gen2 tunai, RM16k masa tu. Kereta tu la yang saya bawak sana sini pergi pos barang orang, beli stok barang burger,” ujarnya.

Penat lelah mula menunjukkan hasil. Gadis itu kemudiannya mengambil keputusan untuk menjadi agen sepenuh masa dan berhenti meniaga burger kerana kekangan masa.

Pada usia 17 tahun, dia sudah menjadi agen sepenuh masa selama kira-kira setahun dan mula mengeluarkan produk sendiri pada usia 18 tahun.

Berkat kerja kerasnya, Atiqah sudah mampu berjaya membawa ibu bapanya ke Mekah untuk menunaikan umrah ketika usianya masih 19 tahun menggunakan 80 peratus daripada simpanannya.

Gambar: @deebulaneqa

“Ayah saya dah tua, keluar pagi sampai malam dapat RM30 je. Walaupun usia saya baru 13-14 tahun, saya tertanya-tanya apa fungsi saya untuk bantu mereka.

“Benda tu yang buat saya tersentak, sampai bila saya nak tengok mak ayah saya susah. Apa guna saya sebagai anak kalau saya tak mampu senangkan dan tolong mak ayah saya,” katanya menamatkan perbualan.

Kini, berkat kerja keras dan bakti kepada orang tua, Atiqah sudah berjaya menjadi jutawan muda pada usia 22 tahun dan mempunyai produk berjenama serta syarikat Sdn Bhdnya sendiri.

“Tanpa impian dan pengorbanan tiadalah kejayaan. Kejayaan datang dengan usaha, dan jangan sesekali menyerah dalam kehidupan.” -Nur Atiqah, @deebulaneqa

Sumber: @deebulaneqa

Amira

Love yourself.