Siakap Keli
Gambar: Daily Mail

(Video) Seekor Gajah Dilapor Mati Terbakar, Sekumpulan Lelaki Didakwa Lempar ‘Objek’ Terbakar Ke Arahnya

Seekor gajah telah didakwa dibakar hidup-hidup oleh sekumpulan samseng ketika gajah tersebut bertindak menghampiri sebuah resort persendirian di selatan India, lapor Daily Mail

Susulan daripada itu, dua lelaki telah ditahan manakala seorang lagi sedang diburu kerana mereka didakwa melemparkan kain yang sedang terbakar ke arah gajah tersebut.

Pihak polis menyatakan siasatan sedang dijalankan ekoran daripada insiden yang terjadi di daerah Nilgiris, Tamil Nadu di selatan India.

Ianya dilaporkan berlaku berhampiran kawasan tempat peranginan persendirian, di mana kumpulan yang digambarkan sebagai ‘penjahat’ itu cuba mengusir gajah yang berada di tengah jalan dengan melemparkan objek yang terbakar.

Seperti yang dipaparkan dalam video yang dirakam dari balkoni rumah berdekatan, api mula marak pada bahagian sebelah kanan gajah itu sebelum ianya berlari ke arah hutan sambil meraung kesakitan.

Dalam beberapa saat berikutnya, gajah yang panik itu hilang dari pandangan ke arah hutan, namun api masih dapat dilihat menyala menerangi kegelapan.

Turut kendengaran juga suara orang sedang berteriak dalam video, namun tidak dapat dipastikan sama ada mereka berteriak kerana gajah itu terbakar, atau dalam usaha untuk menjauhkannya.

Tragisnya, gajah berusia 40 tahun itu mengalami luka melecur yang teruk pada bahagian telinganya dan dilaporkan telah mati pada Selasa ketika sedang dibawa untuk rawatan oleh pegawai.

Ianya dilaporkan ditemui oleh renjer hutan dalam keadaan yang sangat lemah, dan sedang dibawa ke tempat perlindungan gajah ketika ianya dilaporkan mati.

Dua individu yang berasal daripada Mavanallah dilaporkan telah ditahan.

Seorang lagi yang didakwa terlibat dalam kes itu sedang berada di luar kawasan dan polis dilaporkan giat berusaha untuk mengesannya bagi membuat tangkapan.

Gajah Asia telah disenaraikan sebagai haiwan terancam sejak tahun 1986, dengan populasi dalam habitat liar telah menurun sekitar 50 peratus sejak tahun 1930-an dan 1940-an.

Dianggarkan 27,000 – 31,000 gajah di India sedang diancam kerana kehilangan habitat, kerosakan persekitaran, dan pemecahan habitat.

Dengan lebih 80 peratus penduduk India beragama Hindu – agama yang menganggap gajah sebagai haiwan suci – berita mengenai serangan itu berkemungkinan akan mencetuskan kemarahan.

Sumber: Daily Mail

 

Aqmal Ezany

I write what is right