Siakap Keli
Kredit: Bernama

COVID: Rekod Tertinggi 4,427 Kes Sembuh, Kes Aktif Menurun – KP Kesihatan

KUALA LUMPUR, 24 Jan (Bernama) — Pesakit sembuh daripada COVID-19 di negara ini mencatat jumlah tertinggi hari ini dengan 4,427 kes sekali gus mengatasi bilangan kes baharu, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Perkembangan baharu itu menjadikan jumlah kes aktif menurun kepada 41,677 kes berbanding 42,769 kes semalam.

Dr Noor Hisham berkata jumlah kes baharu juga menurun namun kekal empat angka iaitu 3,346 orang manakala sembilan lagi kluster baharu dilaporkan termasuk lapan kluster penularan di tempat kerja.

“Selangor melaporkan kes harian baharu paling tinggi iaitu 950 kes; Sabah (431 kes); Kuala Lumpur (390 kes); Johor (378 kes); Sarawak (255 kes); Terengganu (179 kes); Negeri Sembilan (160 kes); dan Melaka (152 kes).

“Pulau Pinang dengan 90 kes; Kedah pula mencatat 85 kes; Kelantan (77 kes); Pahang (63 kes); Labuan (49 kes); Perak (46 kes); Putrajaya (38 kes); dan Perlis merekodkan hanya tiga kes,” katanya dalam kenyataan perkembangan COVID-19, di sini hari ini.

Dr Noor Hisham berkata sebanyak 11 lagi kematian dilaporkan hari ini melibatkan 10 warga tempatan dan seorang rakyat asing.

Sementara itu, terdapat 265 pesakit kini dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 102 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Mengenai sembilan kluster baharu itu, Dr Noor Hisham berkata hanya satu daripadanya melibatkan kluster pusat tahanan iaitu Kluster Tembok Taiping di Perak yang mencatatkan 42 kes positif manakala selebihnya membabitkan kluster di tempat kerja.

Beliau berkata kluster di tempat kerja melibatkan masing-masing dua di Sabah dan Johor; dan masing-masing satu di Selangor, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Di Sabah, Kluster Ladang Segama dengan 22 kes positif dan Kluster Jalan Segama (20 kes); di Johor, Kluster Jalan Tengar (lapan kes) dan Kluster Keluli Tujuh (21 kes) manakala Kluster Jalan Sebelah di Selangor (83 kes).

“Kluster Bukit Emas di Negeri Sembilan dengan 46 kes positif, Kluster Tapak Bina Sri Petaling di Kuala Lumpur (44 kes) dan Kluster Tapak Bina Flora di Putrajaya (13 kes),” katanya.

Sumber: BERNAMA