Siakap Keli
Gambar: Bernama

Pantai Teluk Akuan Di Perak Tercemar Akibat Aktiviti Kuari

BERUAS, 24 Jan — Persatuan Aktivis Sahabat Alam (Kuasa), sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mendakwa Pantai Teluk Akuan, Segari di kawasan Hutan Simpan Segari Melintang, dekat sini tercemar dipercayai akibat aktiviti kuari.

Timbalan Presidennya Ismady Radzuan berkata anak sungai di selatan Pantai Teluk Akuan didapati berubah warna kesan daripada aktiviti kuari di Kompartmen 22 hutan tersebut yang merupakan Hutan Simpanan Kekal.

“Kami (Kuasa) masuk ke dalam (hutan) ikut laluan anak sungai dan mendapati tanah merah terhakis, memenuhi sebahagian hutan simpan hingga mengakibatkan sesetengah kawasan ada pokok mati akibat timbunan tanah merah dari bukit di kompartmen 22.

“Tanah merah ini kemudian dibawa air mengalir masuk ke bahagian selatan Pantai Teluk Akuan dan ke laut,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Ismady berkata Pantai Teluk Akuan wajar terus dijaga kerana ia merupakan kawasan persinggahan nelayan untuk mendapatkan air bersih dari air terjun berhampiran selain tempat berlindung daripada angin kencang.

Selain itu, katanya Pantai Teluk Akuan juga merupakan antara  pantai pendaratan penyu berdasarkan maklumat daripada nelayan tempatan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi hijau negeri Mohd Akmal Kamaruddin memaklumkan pihaknya sudah mengarahkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk membuat pemeriksaan lanjut ke Pantai Teluk Akuan.

Pengarah JAS Perak Rosli Zul turut mengesahkan sudah menghantar pegawai ke lapangan selepas dimaklumkan mengenai perkara itu pagi ini.

“Pegawai JAS, Jabatan Perhutanan, Jabatan Mineral dan Geologi Perak serta pegawai dari pejabat Exco negeri akan ke lapangan bagi menjalankan siasatan,” katanya ketika dihubungi.

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right