Siakap Keli
Gambar: Daily Mail

(Video) Sanggup Pertaruh Nyawa, Detik Ibu Hamil Jadi Pelindung Buat Anaknya Ketika Tembakan Dilepaskan Dalam Kedai

Seorang ibu hamil telah bertindak menjadikan dirinya sebagai pelindung untuk anaknya ketika seorang lelaki bersenjata melepaskan tembakan di sebuah kedai di Brazil, lapor Daily Mail

Kejadian itu difahamkan berlaku di bandar Daerah Persekutuan Recanto das Emas, Brazil pada malam Ahad ketika wanita berkenaan sedang makan bersama suami serta rakannya selepas menghadiri upacara di sebuah gereja tempatan.

Wanita yang hamil enam bulan itu memberitahu agensi berita Brazil, G1, bahawa dia pada awalnya telah bertindak melindungi nyawa anak lelakinya yang berusia 4 tahun itu kerana mendapati bahawa kedua-dua suspek ‘berurusan’ dengan salah seorang pelanggan di kedai berkenaan.

Video CCTV memaparkan dua penyerang tersebut melangkah masuk ke restoran berkenaan sebelum salah seorang daripada mereka cuba dihalang oleh beberapa pengunjung daripada meninggalkan kedai itu.

Ketika ‘mengumumkan niat mereka untuk merompak kedai tersebut dan mengambil barang-barang pelanggan, lelaki bersenjata itu telah mengacukan senjatanya ke arah mereka, sebelum salah seorang pelanggan lelaki meluru ke arah rakan lelaki bersenjata itu dan cuba untuk menjatuhkannya ke tanah.

Pelanggan yang berani itu akhirnya berserah dan mengundur diri sambil mengangkat kedua tangannya sebelum lelaki bersenjata itu melepaskan tembakan ke arahnya namun mujur tembakan itu tersasar.

Wanita tersebut dapat dilihat dalam video itu merebahkan anaknya ke lantai dan memeluknya ketika rakan lelaki bersenjata itu meluru ke kawasan tempat duduknya dan mengambil telefon bimbit seterusnya melarikan diri.

“Ianya adalah detik yang menakutkan. Ini adalah sesuatu yang tidak pernah kita jangkakan akan berlaku,” kata wanita berkenaan.

Mujur tiada pelanggan yang tercedera semasa rompakan itu berlaku.

Pihak berkuasa dilaporkan berjaya mengesan salah satu telefon bimbit yang dirompak itu selepas ianya ditinggalkan di kawasan semak berhampiran dan dikesan oleh pemiliknya.

Sehingga hari Khamis, polis masih tidak berjaya mengesan dan menangkap perompak itu.

Sumber: Daily Mail

Aqmal Ezany

I write what is right