Siakap Keli

(Video) Lelaki Selamba Bawa Ribuan Lebah Di Lengan, Yakin Dia Tidak Akan Disengat, Ini Sebabnya

Seorang lelaki yang juga merupakan pemelihara lebah ‘selamba’ membawa satu koloni serangga itu dengan meletakkan ratu lebah di bahagian tangannya sementara ribuan yang lain mengerumuni seluruh lengannya.

Menerusi rakaman yang dimuatnaik di media sosial, pekerja di Republik Dominika itu dilihat memakai kaca hitam sambil berjalan santai seperti tiada apa-apa yang berlaku.

Ketika disoal di dalam video tersebut, lelaki itu menjelaskan bahawa dia tidak akan disengat lebah kerana serangga itu mengikuti ratu lebah yang berada di dalam genggaman tangannya.

Difahamkan, penjaga lebah itu turut memberitahu di dalam rakaman bahawa dia sedang memindahkan koloni lebah itu untuk dimasukkan ke dalam kotak.

Rakaman tersebut yang menjadi tular di media sosial telah menarik perhatian ramai warganet yang terkejut dan takut sekiranya lebah tersebut menyerang lelaki berkenaan.

Namun, seorang individu menjelaskan bahawa ianya memang kelihatan menakutkan tetapi serangga itu sebenarnya ‘jinak’ dan mencari rumah baru sambil melindungi ratu mereka.

”Pada ketika ini, kawanan lebah kelihatan sangat menakutkan tetapi ia adalah yang paling jinak kerana hanya mencari rumah baru sambil melindungi ratu mereka.

“Dalam kes ini, ratu lebah tidak merasa terancam dan tidak dicederakan, jadi ribuan lebah yang lain hanya mengikut,” kata seorang individu.

Sumber: Daily Mail

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.