Pernah melangkah masuk ke sebuah hotel dan terus disambut bau harum yang menyenangkan? Malah, ada sesetengah hotel yang mempunyai aroma tersendiri sehingga membuatkan tetamu berasa lebih tenang sebaik sahaja tiba di lobi.
Namun, bau harum yang memenuhi ruang hotel mewah sebenarnya bukan sekadar kebetulan. Di sebalik wangian yang menyenangkan itu, terdapat strategi khusus untuk mencipta pengalaman berbeza kepada setiap tetamu.
Bagi hotel bertaraf mewah, pengalaman menginap bukan hanya bergantung pada dekorasi, kemudahan atau keselesaan bilik. Aspek deria seperti bau juga memainkan peranan penting dalam membentuk persepsi seseorang terhadap sesebuah penginapan.

Bau Haruman Mampu Mempengaruhi Emosi
Bau mempunyai hubungan rapat dengan emosi, ingatan dan persepsi manusia. Ini kerana bahagian otak yang memproses deria bau turut mempunyai kaitan dengan sistem limbik, iaitu kawasan yang terlibat dalam pemprosesan emosi dan memori.
Menurut ahli neurosains, Rachel Herz, bahagian otak yang terlibat dalam persepsi bau mempunyai hubungan dengan proses mengingati pengalaman serta membentuk emosi dan perkaitan tertentu.
Sebab itulah aroma seperti bau laut, pokok pain atau bunga-bungaan boleh membuatkan seseorang berasa tenang kerana ia mungkin mengingatkan mereka kepada pengalaman indah ketika bercuti atau menikmati alam semula jadi.
Malah, bau yang dikaitkan dengan kenangan positif turut dikaitkan dengan manfaat seperti peningkatan mood, pernafasan lebih mendalam dan pengurangan keradangan.
Keadaan ini menjadikan pemilihan wangian sebagai salah satu strategi pemasaran yang digunakan hotel untuk membina pengalaman positif kepada pelanggan.
Menurut laporan Ambius bertajuk Business Impact of Scenting pada 2019, perniagaan yang menggunakan wangian di premis mereka mencatatkan perbezaan sebanyak 38 peratus dalam penglibatan emosi pelanggan.
Laporan sama turut mendapati 91 peratus tetamu hotel menyatakan bau yang menyenangkan memberikan kesan positif terhadap pengalaman penginapan mereka.
Secara tidak langsung, aroma yang sesuai boleh membantu tetamu berasa lebih selesa sebaik sahaja melangkah masuk ke hotel, sekali gus mewujudkan tanggapan positif terhadap jenama berkenaan.
Hotel Mewah Ada Wangian Tersendiri
Menariknya, kebanyakan hotel lima bintang hari ini mempunyai wangian khas yang direka untuk mencerminkan identiti dan suasana jenama masing-masing.
Bagi menghasilkan aroma tersendiri, hotel mewah lazimnya bekerjasama dengan syarikat penghasilan wangian profesional seperti Air Aroma.
Proses menghasilkan wangian khas bukan sesuatu yang dilakukan dalam masa singkat. Ia boleh mengambil tempoh antara enam bulan hingga setahun, bergantung pada konsep, identiti dan emosi yang ingin diketengahkan oleh pihak hotel.
Sebagai contoh, Mandarin Oriental Ritz Madrid pernah memberikan taklimat setebal enam halaman kepada seorang pakar wangian.
Taklimat itu merangkumi maklumat mengenai seni bina, tetamu, landskap dan sejarah hotel berkenaan sebelum satu aroma khas dihasilkan.
Hasilnya, wangian tersebut menggabungkan nota freesia, lemon dan mandarin dengan asas amber, cashmere, patchouli serta musk.
Sementara itu, semua hotel di bawah jenama Edition menggunakan wangian sama yang dikenali sebagai Black Tea.
Aroma berkenaan menggabungkan teh hitam, bergamot Sicily, cedar dan musk bagi menghasilkan bau yang tersendiri serta sukar ditiru.
Berbeza pula dengan Caesars Palace di Las Vegas yang menggunakan gabungan aroma sitrus, lemon segar dan mandarin, disertakan nota melur, lily of the valley, cyclamen, cedar, amber serta musk.
Secara umumnya, pakar wangian mencadangkan hotel memilih aroma yang tidak terlalu maskulin atau feminin. Sebaliknya, wangian yang mampu membangkitkan kenangan positif lebih sesuai digunakan.
Antara aroma yang sering menjadi pilihan termasuk sitrus, cedar, vanila, melur, kelapa, patchouli dan lavender.
Bagaimana Hotel Mengekalkan Bau Harum?
Selain pemilihan wangian, penggunaan teknologi turut membantu hotel memastikan aroma yang menyenangkan memenuhi ruang bangunan.
Antara kaedah yang digunakan ialah alat penyebar wangian yang disambungkan kepada sistem penyaman udara dan pemanasan atau dikenali sebagai HVAC scent diffuser.
Peranti kecil ini membantu menyebarkan minyak pewangi dalam kuantiti terkawal ke ruang seperti lobi, koridor dan bilik supaya aromanya kekal lembut serta tidak terlalu kuat.
Sesetengah hotel turut menyediakan kelengkapan mandian dengan wangian khas, selain menjual produk beraroma yang boleh dibawa pulang oleh tetamu sebagai kenangan.
Hotel bertaraf mewah juga menggunakan peranti aromaterapi seperti penyebar ultrasonik dan semburan pewangi bilik. Malah, ada yang memberikan perhatian kepada bau cadar serta tuala yang digunakan tetamu.
Menariknya, sesetengah hotel menggunakan aroma berbeza mengikut ruang.
Contohnya, wangian sitrus yang lebih segar digunakan di gimnasium, aroma lebih mewah dan berempah di lobi, manakala lavender yang menenangkan menjadi pilihan untuk bilik tidur.
Pada masa sama, hotel turut memberi perhatian kepada kebersihan bagi menghapuskan bau yang tidak menyenangkan.
Permaidani dibersihkan dengan teliti, sampah dibuang segera dan langkah mengawal bau digunakan supaya aroma yang menyenangkan tidak terganggu.
Jelaslah, bau harum yang sering dikaitkan dengan hotel mewah bukan hanya bergantung pada penggunaan minyak wangi semata-mata.
Sebaliknya, ia merupakan gabungan strategi pemasaran, pemilihan aroma, teknologi dan penjagaan kebersihan yang dirancang untuk memberikan pengalaman menginap lebih selesa kepada tetamu.
Jadi, tidak hairanlah jika ada tetamu yang masih mengingati sesebuah hotel hanya kerana bau harum yang menyambut mereka sebaik sahaja melangkah masuk.

