Sudu, garpu dan peralatan makan yang digunakan setiap hari boleh berubah menjadi kusam, gelap atau mempunyai kesan tompokan akibat penggunaan serta proses mencuci.
Walaupun kesan air dan kekotoran ringan boleh dibersihkan dengan kain penggilap, peralatan makan yang sudah kehilangan kilauannya mungkin memerlukan kaedah pembersihan lebih menyeluruh.
Selain mengetahui cara mencucinya, kaedah mengeringkan dan menyimpan peralatan makan juga penting bagi memastikan permukaannya kekal berkilat.
Berikut beberapa panduan membersihkan peralatan makan mengikut jenis bahan.
1. Cara Membersihkan Sudu Dan Garpu Keluli Tahan Karat
Peralatan makan daripada keluli tahan karat biasanya sesuai dicuci menggunakan mesin pencuci pinggan. Namun, penggunaan bahan pencuci dan mineral dalam air yang mempunyai kandungan mineral tinggi boleh menyebabkan permukaannya bertompok atau kelihatan berkabus.
Kesan karat juga boleh muncul akibat sentuhan dengan sisa makanan atau logam lain ketika proses mencuci.
Untuk mengembalikan kilauannya, ikuti langkah berikut:
Isikan sinki dengan kira-kira dua inci air suam dan sedikit sabun pencuci pinggan yang lembut. Rendam peralatan makan selama beberapa minit.
Cuci setiap sudu dan garpu menggunakan span lembut sebelum membilasnya.
Letakkan peralatan makan di atas tuala pinggan.
Gunakan tuala bersih dan lembut untuk mengeringkan serta menggosok setiap bahagian sehingga kembali berkilat.
Elakkan mencuci semua peralatan makan serentak jika tidak dapat mengeringkannya dengan segera kerana kesan tompokan boleh muncul ketika ia dibiarkan kering sendiri.
Sebagai alternatif, cuci dan keringkan beberapa bahagian pada satu masa.
Jika kaedah menggunakan air sabun masih belum mengembalikan kilauannya, rendam peralatan makan selama lima minit dalam air panas yang dicampurkan sedikit cuka putih.
Bagaimanapun, elakkan merendam terlalu lama dalam larutan cuka yang pekat kerana kandungan asid boleh menyebabkan perubahan warna pada keluli tahan karat.
Selepas selesai, bilas dan keringkan peralatan makan dengan segera. Kesan karat pada permukaan biasanya boleh ditanggalkan, namun penggilap khas untuk keluli tahan karat boleh digunakan jika kesan tersebut masih kelihatan.
2. Cara Membersihkan Sudu Dan Garpu Perak Sterling
Peralatan makan daripada perak sterling boleh mengalami proses pengoksidaan yang menyebabkan permukaannya menjadi gelap dan kusam.
Keadaan ini berlaku apabila aloi perak bertindak balas dengan kelembapan, garam, sulfur serta bahan kimia seperti klorin.
Bagi menghilangkan kotoran ringan, cuci peralatan makan menggunakan sabun pencuci pinggan yang lembut dan air.
Selepas itu, keringkan sepenuhnya sebelum menggosok permukaannya menggunakan kain khas untuk menggilap perak.
Kaedah ini juga boleh membantu menghilangkan sedikit kesan kehitaman tanpa memerlukan krim penggilap.
Bagi kesan kehitaman yang lebih tebal, kaedah menggunakan kerajang aluminium dan soda penaik boleh dicuba.
Proses ini menggunakan tindak balas elektrolisis untuk menyingkirkan atom sulfur yang menyebabkan permukaan perak menjadi gelap.
Ikuti langkah berikut:
Lapik bahagian dalam bekas besar menggunakan kerajang aluminium sebelum meletakkan peralatan makan di bahagian bawahnya.
Panaskan satu gelen air bersamaan kira-kira 16 cawan.
Taburkan satu cawan soda penaik pada peralatan makan sebelum menuangkan air panas ke dalam bekas. Jika menggunakan bekas lebih kecil, gunakan setengah gelen air dan setengah cawan soda penaik.
Biarkan peralatan makan terendam selama satu hingga dua minit bagi kesan kehitaman ringan atau sehingga 15 minit bagi kesan yang lebih tebal.
Bilas peralatan makan dengan air bersih dan keringkan sepenuhnya.
Jika perlu, gunakan kain lembut dan bahan penggilap perak berkualiti untuk mengembalikan kilauannya.
Namun, kaedah ini perlu dielakkan atau digunakan dengan berhati-hati sekiranya peralatan makan mempunyai pemegang kayu, gading atau permukaan patina yang menonjolkan perincian ukiran.
Sebaliknya, gunakan pembersih kaca berasaskan ammonia dan kain untuk mengelap bahagian yang ingin dibersihkan dengan cermat. Selepas itu, bilas dan keringkan peralatan makan.
3. Berhati-hati Ketika Membersihkan Peralatan Makan Saduran Perak
Peralatan makan yang mempunyai saduran perak memerlukan penjagaan lebih teliti kerana tindak balas terhadap bahan pencuci tertentu mungkin sukar dijangka.
Penggilapan secara berlebihan juga boleh menyebabkan lapisan perak semakin menipis sehingga mendedahkan logam di bahagian bawahnya.
Oleh itu, gunakan kaedah pembersihan yang paling lembut dan elakkan bahan atau teknik yang terlalu kasar.
4. Tip Mengekalkan Kilauan Sudu Dan Garpu
Selain mengetahui kaedah mencuci yang betul, beberapa amalan berikut boleh membantu mengekalkan keadaan peralatan makan:
Keringkan menggunakan tuala: Elakkan membiarkan peralatan makan kering sendiri kerana keadaan itu boleh menyebabkan tompokan air atau kesan kehitaman. Gunakan tuala bersih untuk mengeringkan setiap bahagian.
Cuci peralatan perak sejurus selepas digunakan: Sesetengah jenis makanan boleh mempercepatkan proses penghitaman pada perak sterling. Bagi keluli tahan karat pula, bilas sisa makanan berasid untuk mengelakkan kesan karat.
Jangan cuci kedua-dua jenis perak bersama keluli tahan karat: Mencuci peralatan makan daripada keluli tahan karat bersama perak sterling boleh menyebabkan kakisan.
Simpan dengan cara yang betul: Balut peralatan makan perak menggunakan kain khas penyimpanan perak atau beg antikehitaman sebelum menyimpannya di dalam laci.
Dengan kaedah pembersihan dan penyimpanan yang betul, peralatan makan bukan sahaja kelihatan lebih bersih, malah kilauannya juga dapat dikekalkan lebih lama.

