Cicak sering dianggap sebagai ‘gangguan’ oleh sesetengah pihak dek kerana ia suka membuang najis merata-rata di dalam rumah. Oleh itu, pelbagai cara digunakan untuk membasmi haiwan ini, antaranya dengan menggunakan gam pelekat atau melastiknya dengan gelang getah.
Justeru, getah seakan membawa ‘takdir yang buruk’ buat reptilia itu. Namun baru-baru ini, seorang lelaki di Singapura telah membuktikan sebaliknya. Dalam gambar dikongsikan Ong Ah Huat, kelihatan reptilia itu sedang menggigit kemas gelang getah sambil melekap pada pintu almari.
Memetik perkongsian Mothership, Ong berkata mereka sekeluarga telah menggantung beberapa gelang getah berhampiran sinki, namun keesokan paginya mereka melihat ia terjatuh ke dalam sinki atau di atas lantai.

Pada awalnya, Ong menyangka anak perempuan mereka yang telah menjatuhkan gelang getah tersebut, namun dia sedar apabila anaknya menunjukkan gambar cicak yang sedang menggigit gelang getah tersebut.
Tambahnya, dia akan terus menggantung gelang getah itu di tempat yang sama sebagai ‘permainan’ buat cicak tersebut kerana percaya haiwan itu membantu mengawal serangga di rumah mereka, tulis portal itu.

Sumber: Mothership.Sg