Siakap Keli

(Video) 7 Hari Nak Bina, Abang Ni ‘Tukar’ Tanah Kosong 3 Ekar Di Kebunnya Jadi ‘Sungai Amazon’

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Semua sudah sedia maklum bahawa Sungai Amazon yang terletak di Amerika Selatan merupakan sungai yang terpanjang di dunia.

Keindahan semulajadi Hutan Amazon yang ‘mendiami’ tiga negara; Peru, Colombia dan Brazil itu tidak dapat dinafikan lagi, justeru sungainya itu pasti menjadi nadi kehidupan utama buat flora dan fauna di sana.

Tapi tahukah anda, rupa-rupanya di negara kita pun wujud ‘Sungai Amazon’ versi Asia? Jawapannya ya. Memang ada. Ianya terletak di Jeram Sungai Tengkek, Kuala Pilah di Negeri Sembilan.

Baru-baru ini, Fahiz Hussin berkongsi projek ‘Mini Amazon’ di tanah kebunnya sendiri ke dalam group Facebook Tukang Apa Hari Ini.

Jika merujuk kepada gambar di bawah, kita akan nampak perbezaan tanah kosong berpaya di tengah-tengah pokok sawit dengan keadaan selepasnya. Sungguh menakjubkan.

Nak tahu lebih lanjut? Jom baca perkongsian, gambar dan video di bawah ini.

Gambar: Fahiz Hussin

Assalamualaikum semua. Lanjutan daripada beberapa persoalan rakan rakan dalam post saya yang terdahulu di sini berkenaan ‘sungai buatan’ di post ‘pondok kebun’ sebelum ini.

Di sini saya sertakan ‘step by step’ pembinaan kolam ala-ala ‘Mini Amazon’ di kebun saya.

Proses pembentukan ini memakan masa 7 hari dengan penggunaan mesin excavator EX200.

Gambar: Fahiz Hussin
Gambar: Fahiz Hussin
Gambar: Fahiz Hussin

Difahamkan, pada asalnya kawasan ini merupakan tanah berpaya yang sentiasa basah dan berair.

Ia juga dikelilingi oleh tumbuh-tumbuhah hutan dan turut menjadi habitat beberapa spesies haiwan liar serta burung.

Maka tidak hairanlah kawasan ini menjadi lokasi pilihan untuk dijadikan sebagai Mini Amazon.

Dalam pada itu, Mini Amazon ini dikatakan berkeluasan sekitar tiga ekar dan meliputi 10 peratus daripada luas keseluruhan kebun miliknya, The Kebun yang mencapai keluasan 37.5 ekar.

Gambar: Fahiz Hussin
Gambar: Fahiz Hussin
Gambar: Fahiz Hussin

Projek ini dimulakan dengan mereka pelan kolam yang berbentuk seakan tasik ladam seperti di Lembangan Amazon.

Menurut Fahiz, kawasan ini memang sengaja dikekalkan suasana hijaunya. Malah laluan tasik ini pula akan dipenuhkan dengan tumbuhan akuatik dan semi-akuatik.

Ketika ini, airnya mungkin kelihatan agak keruh dan berlumpur kerana kesan tarahan tanah oleh jentera tersebut. Namun jelasnya, penjernihan air akan dijalankan menggunakan bahan dolomit dan tawas secara berperingkat.

Dalam masa sama, bagi ‘menghidupkan’ lagi suasana Amazon, Fahiz akan melepaskan beberapa spesies ikan ke tasik tersebut, antaranya ikan Arapaima dan lain-lain.

Gambar: Fahiz Hussin
Gambar: Fahiz Hussin
Gambar: Fahiz Hussin

Menariknya di sini, laluan air yang dibuat membolehkan pengunjung yang berada di situ untuk menyelusurinya dengan menggunakan sampan atau kayak.

Bayangkan, selusuri sungai yang dikelilingi hutan, diiringi pula dengan bunyi kicauan burung. Ianya memang saling tidak tumpah seperti di Amazon.

Jelas Fahiz, rakaman gambar dan video dibuat sepanjang projek ini dijalankan. Ianya untuk dijadikan sebagai kenangan pada masa akan datang.

Oleh itu, mari tonton video proses pembinaan Mini Amazon melalui Youtube di bawah ini. Selamat terinspirasi.

Sumber: Fahiz Hussin II melalui Tukang Apa Hari Ini

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'