Seorang lelaki di Chonburi dilapor telah menemui mutiara Melo yang bernilai lebih £70,000, kira-kira RM392,024 selepas membeli siput berharga RM5.60.
Menurut Daily Mail, Monthian Jansuk, 40, telah membeli siput berkenaan di sebuah pasar berdekatan rumahnya pada harga 50 baht pada 10 Februari lalu. Dia turut membeli beberapa makanan lain termasuk ikan, udang dan kepah untuk digril bersama keluarga.
Keluarga itu menyedari kewujudan mutiara berkenaan apabila anak lelaki mereka tergigit sesuatu yang keras dan meluah sebiji mutiara berwarna oren semasa memakan siput tersebut.

Tambah portal itu, mereka pada awalnya menyangka ia adalah telur kepada siput tersebut, namun sedar ia mungkin salah satu mutiara paling jarang ditemui di dunia selepas melihat berita penemuan mutiara yang sama beberapa minggu lalu.
Pakar telah mengesahkan mutiara itu sememangnya mutiara Melo dengan berat 13.11 gram, bersamaan 65.57 karat.
“Sebaik saya lihat mutiara itu, saya tahu ia istimewa. Itu naluri saya. Sekarang saya gembira kami mempunyai pengesahan untuk membuktikannya,” katanya.
“Saya telah menyimpan mutiara itu di peti simpanan di bank dan kami akan menjualnya, tetapi tidak tergesa-gesa…, Sekiranya dapat menjual dengna harga yang baik, saya akan bersara dan menghabiskan masa bersama keluarga.”

Sumber: Daily Mail