Siakap Keli
Gambar: FB Uncle Kentang

“Sila Rujuk Surah Al-Hujurat Ayat 13”, Uncle Kentang Tegur Pihak Yang Persoalkannya Tentang Bagi Bantuan Pada Warga Asing

Dalam menyalurkan bantuan atas nama kemanusiaan, sebaiknya tidak perlu ada jurang tentang warna kulit, bangsa mahupun agama.

Bahkan Nabi Muhammad SAW sendiri menuntut umatnya untuk saling tolong-menolong dan berbuat kebaikan sesama insan.

Seperti yang kita tahu, rakyat negara ini menikmati kehidupan dengan suasana unik kerana masyarakatnya berbilang kaum dan saling menghormati antara satu sama lain.

Dua figura kemanusiaan yang disanjung tinggi, Ustaz Ebit Lew dan Uncle Kentang sendiri telah membuktikan bahawa setiap orang layak dibantu, biarpun mereka bukan sebangsa dengan kita.

Hari ini, Uncle Kentang memberi sedikit ‘teguran’ mengenai persepsi segelintir orang awam yang bersikap prejudis terhadap mana-mana bantuan kemanusiaan yang dijalankannya.

Jelasnya, menolong insan yang bukan senegara dengan kita juga adalah satu keperluan. Bantuan tidak perlu memandang siapa.

“Kalau saya beri warga Indonesia kosong beras, apa salah saya? Bukankah rakyat Indonesia pun manusia?

“Mereka kongsi satu moyang dengan kita. (Iaitu) Adam dan Hawa. Hanya segelintir (yang) kecam, ramai yang sokong. Sila rujuk Surah al-Hujurat ayat 13,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

‘Isi’ utama teguran beliau adalah tentang sikap prejudis dalam memberi bantuan melibatkan soal kewarganegaraan.

Padanya, kita sebagai rakyat Malaysia yang berdarah sama dengan Indonesia (dan lain-lain bangsa), seharusnya kena sedar bahawa semua manusia di dunia ini adalah satu keluarga yang besar.

Tidak sepatutnya pertolongan yang mahu diberikan itu terlalu perlu menilai akan perbezaan jenis bangsa dan agama.

Dalam masa sama, Uncle Kentang turut menjelaskan bahawa situasi ini telah pun dirakam dalam Al-Quran melalui firman Allah SWT dalam Surah al-Hujurat, ayat ke-13 yang bermaksud:

“Wahai manusia, sungguh Kami telah ciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan, kemudian Kami jadikan kamu bangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling mengenali. Sungguh yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa. Sungguh Allah Maha Mengetahui dan Maha Teliti,”

Dalam pada itu, ramai warganet turut bersetuju dengan pandangan Uncle Kentang. Malah ada yang turut berkongsi pengalaman masing-masing yang pernah hadapi situasi yang serupa.

 

 

Kesimpulannya, janganlah kita bersikap prejudis jika ingin membantu mereka yang memerlukan.

Sumber: Uncle Kentang

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.