Siakap Keli

(Video) China Dilapor Lancar Rancangan Manipulasi Cuaca, Cetus Kebimbangan Negara Tetangga

Bagi yang masih tidak tahu, China sememangnya telah menjalankan program manipulasi cuaca sejak sekian lama dan pada Disember lalu, mereka mengumumkan bahawa operasi itu akan diperluaskan lagi di seluruh negara.

Pihak berkuasa negara itu mengatakan bahawa program hujan atau salji tiruan akan meliputi 5.5 juta kilometer persegi pada tahun 2025 yang merupakan hampir 60% wilayah China.

Menurut BBC Indonesia, inisiatif itu telah menimbulkan kebimbangan di negara-negara jiran seperti India kerana ketidakpastian mengenai kesan teknologi ini serta ketegangan serantau yang sudah ada.

Gambar Via BBC Indonesia

China menggunakan kaedah pembenihan awan yang terkenal di seluruh dunia.

“Banyak negara menggunakan teknologi ini termasuk China dan India,” kata pakar cuaca dari Akademi Pengajian Tinggi Manipal, Dhanasree Jayaram.

Namun, Jayaram juga mengatakan bahawa rancangan China dalam memanipulasi cuaca lebih besar.

Pembenihan awan mempunyai sejarah yang panjang, bermula pada tahun 1940-an (terutama di Amerika Syarikat) tetapi masih terdapat keraguan besar mengenai hasilnya.

Gambar Via BBC Indonesia

Seorang saintis di Universiti Normal Beijing, John C. Moore, mengatakan bahawa terdapat 50,000 bandar di China yang mempraktikkan pembenihan awan secara berkala untuk mengelakkan kerosakan pada ladang pertanian mereka.

Pun begitu, pembenihan awan tersebut hanya berkesan di China ‘selama sebulan atau dua bulan’.

Negara itu menggunakan alat-alat seperti ‘roket’ bagi melancarkan operasi manipulasi cuaca tersebut.

Gambar Via BBC Indonesia

Rancangan pengembangan manipulasi cuaca China telah diumumkan pada 2 Disember lalu dalam satu kenyataan dari Majlis Mesyuarat Negara.

Program itu diyakini akan berguna ketika menghadapi sebarang bencana, untuk sektor pertanian, ketika terjadi kebakaran hutan atau kemarau.

Kurang dari sebulan setelah pengumuman itu, China melancarkan program pengubahsuaian cuaca dengan menerbangkan drone Ganlin-1.

 

 

Gambar via BBC Indonesia

Keraguan mengenai program itu tidak menghentikan China daripada membuat pelaburan besar dan keadaan ini menambahkan kebimbangan di negara-negara jiran.

“Salah satu yang menjadi tumpuan adalah sama ada teknologi ini akan memberi kesan kepada perubahan musim panas di India,” kata Jayaram.

Penyelidik dari Universiti Nasional Taiwan menyatakan dalam laporan yang diterbitkan pada tahun 2017 bahawa kurangnya penyelarasan aktiviti manipulasi cuaca dapat menyebabkan tuduhan ‘pencurian hujan’ antara negara-negara jiran.

Moore mengatakan bahawa tidak ada bukti saintifik untuk menyokong tuduhan seperti ini, walaupun dengan musim yang berubah di Asia, keadaan menjadi lebih rumit.

 

 

Sumber: BBC Indonesia

Sofea

There's always another side to every story