Bagi orang perempuan khususnya para isteri, mereka selalunya memerlukan satu rak khas untuk menyimpan ‘koleksi’ pelbagai tudung.
Itu belum kira lagi tudung yang jenis apa, sama ada bawal, shawl, labuh, sarung, anak tudung, tudung pergi berenang, tudung ekspress dan macam-macam lagi.
Jadi dengan betapa banyaknya tudung ini, kalau setakat hendak digantung di hanger saja, mesti tidak akan cukup punya. Silap-silap berebut pula dengan encik suami.
Apa kata kalau anda cuba bertukang hasilkan almari tudung ringkas macam yang viral ini. Jom ikuti perkongsian oleh ahli tukang, Shafiq Abdul Hamid di bawah ini.
Projek buat almari tudung. Terbaik idea ni 😍Saiz paip pvc putih 4 inci.. boleh lah try buat
📸 sahfiq abdul hamid pic.twitter.com/0knskPcmfN
— Idea Deko Deko 🏘️ (@Idea_Dekorasi) February 18, 2021
Berdasarkan penerangan Shafiq, almari tudung ini amat mudah dibuat, hanya menggunakan beberapa peralatan ringkas sahaja.
Malah kosnya pun tidak begitu tinggi, sangat ‘ngam’ dengan poket kita untuk projek-projek tukang berskala kecil seperti ini. Jom kita tengok apa yang kena buat.
Bahan-bahan yang digunakan:
1) Paip PVC
Sebanyak dua (2) batang paip PVC digunakan dengan berukuran kira-kira 19 kaki panjang. Semua paip itu masing-masing dipotong sepanjang enam (6) inci, boleh dapat dalam 70 batang. Kosnya beranggaran RM76.
2) Engsel
Bagi engsel pintu almari pula, sebanyak enam buah semuanya yang digunakan dengan kos kira-kira RM9.
3) Pemegang pintu
Setiap pintu perlulah ada pemegangnya. Jadi sebanyak dua (2) pemegang pintu digunakan dan kos hanya RM4 sahaja.
4) Syelek
Biasanya hasil tukangan kayu akan lebih ‘segar’ apabila kita menggunakan cecair syelek padanya. Bagi almari ini, Shafiq menggunakan sebanyak satu (1) liter syelek, kosnya beranggaran RM20.
5) Papan lapis
Difahamkan, papan lapis bagi ‘body’ almari ini menggunakan sisa-sisa projek yang pernah dibuatnya sebelum ini. Jika beli yang baharu pun akan menggunakan papan berukuran 12 milimeter dengan kos kira-kira RM65 sahaja.
Untuk projek ini, Shafiq memaklumkan kos yang dikeluarkan hanyalah serendah RM109 sahaja.
Selain itu, nampak gayanya almari tudung ini memang agak mudah dihasilkan. Jadi tempoh menyiapkannya bermula dari awal hanyalah memakan masa kira-kira sehari sahaja jika mula bertukang sejak awal pagi.
Kalau anda mahir bertukang, janganlah sia-siakan bakat itu. Buatlah almari tudung ini sebuah untuk diletakkan dalam bilik anda. Pasti isteri akan jatuh cinta punyalah.
Sumber: Shafiq Abdul Hamid