Siakap Keli
Kredit: Google

NAFAS Jamin Benih Padi Sah Berkualiti

PASIR SALAK, 1 Mac (Bernama) — Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) komited memastikan benih padi sah yang diterima pesawah bukan sahaja berkualiti, tetapi harga terkawal serta bekalan sentiasa mencukupi di pasaran.

Pengarah Bisnes Sektor Awam Nafas Saripol Baharin Karim berkata pengalaman Nafas sebagai pengeluar input pertanian seperti baja padi sebelum ini juga menjadikan pertubuhan itu platfrom terbaik untuk menjadi pengedar tunggal benih padi sah menerusi 145 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di Semenanjung.

“Untuk melaksanakan program harga siling benih padi sah ini, platform terbaik yang kerajaan lihat adalah rangkaian pertubuhan peladang.

“Pengedaran kali ini hampir sama dengan input pertanian sebelum ini seperti baja dan racun. Nafas menggunakan platform PPK untuk edarkan kepada petani,” katanya kepada Bernama di sini, baru-baru ini.

Saripol Baharin berkata pihaknya bersama PPK juga memberi jaminan benih padi sah adalah berkualiti kerana telah disahkan Jabatan Pertanian Malaysia bagi memastikan kesemuanya dalam keadaan terbaik sebelum diedarkan.

Sementara itu, Saripol Baharin berkata anggaran keperluan untuk benih padi sah dalam tempoh setahun adalah sebanyak 72,000 tan metrik bersamaan 3.6 juta beg untuk keluasan 525,000 hektar di Semenanjung Malaysia.

“Sehingga 19 Feb lalu, sebanyak 147,104 beg bersamaan 2,492 tan metrik sudah diedarkan di Johor, Kelantan, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Selangor dan Terengganu oleh ejen rasmi melalui PPK,” katanya.

Beliau berkata selain masalah benih padi tidak berkualiti, isu harga benih padi sah yang tidak terkawal juga sering membelenggu pesawah sehingga kerajaan menetapkan harga siling RM35 bagi setiap beg atau 20 kilogram.

“Semua pengeluar (benih padi sah) yang ada di Malaysia, hanya boleh menjual benih padi berkenaan kepada Nafas dan kami hanya boleh menjual kepada PPK sebagai pengedar tunggal di setiap kawasan bagi memastikan tiada manipulasi harga dan petani mendapat benih padi sah dengan harga yang dikawal,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah PPK Seberang Perak, Md Saad Harun berkata pihaknya telah memohon 42,000 beg benih padi sah bagi keperluan pesawah di kawasan berkenaan dan sehingga kini 22,000 beg telah diterima.

“Jika dilihat pada jadual, tanaman padi di kawasan ini akan bermula pada 8 Mac depan dan benih padi sah dari Nafas ini terjamin kualitinya untuk dibekalkan kepada hampir 3,000 pesawah di kawasan ini dan sehingga kini 1,500 telah memperoleh bekalan,” katanya.

Sumber: BERNAMA

Amira

Love yourself.