Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Sistem, Perkhidmatan Utama TH Kembali Beroperasi, Jamin Simpanan Pendeposit Selamat

th
Kredit: Bernama

KUALA LUMPUR, 12 Okt (Bernama) -- Sistem dan perkhidmatan utama Lembaga Tabung Haji (TH) kembali beroperasi selepas dihentikan sementara susulan serangan siber pada 8 Okt lepas, dengan simpanan pendeposit dijamin selamat.

TH dalam kenyataan hari ini memaklumkan pengaktifan semula sistem dan perkhidmatan utama berkenaan dilaksanakan selepas pemeriksaan keselamatan menyeluruh, pengukuhan kawalan serta langkah pemulihan sistem dijalankan.

Menurut kenyataan itu, cawangan TH di Kedah, Terengganu dan Kelantan telah kembali beroperasi mulai semalam, manakala semua cawangan di negeri lain dibuka seperti biasa hari ini, selain perkhidmatan melalui bank rakan strategiknya turut kembali aktif.

“TH memberikan jaminan bahawa simpanan pendeposit adalah selamat. Pemantauan rapi serta pengukuhan keselamatan akan diteruskan bagi memastikan sistem dan perkhidmatan yang diaktifkan semula beroperasi dengan selamat dan lancar,” menurut kenyataan itu.

Pada 8 Okt lepas, TH menghentikan sementara operasi sistem dan perkhidmatan di semua saluran bagi melindungi simpanan serta maklumat peribadi pendeposit susulan serangan siber yang menyebabkan gangguan perkhidmatan.

Susulan insiden itu, TH memaklumkan pasukan dalamannya bekerjasama dengan pakar luar serta pihak berkuasa keselamatan siber negara untuk menyiasat kejadian, menangani ancaman dan memulihkan sistem.

Menyifatkan serangan terbabit sebagai perbuatan jenayah terhadap TH dan negara untuk menjejaskan perkhidmatannya, agensi tersebut telah membuat laporan polis serta melaporkan perkara berkenaan kepada Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP).

Pada masa sama, TH memaklumkan semua fungsi platform THiJARI juga telah kembali beroperasi kecuali penetapan semula kata laluan, pendaftaran pengguna baharu dan pembukaan akaun secara dalam talian.

“Ketiga-tiga fungsi ini masih memerlukan tindakan pemulihan lanjut sebelum dapat diaktifkan semula. Perkembangan mengenainya akan dimaklumkan melalui saluran rasmi TH dari semasa ke semasa,” menurut kenyataan itu.

TH menjelaskan pemantauan rapi dan pengukuhan keselamatan akan diteruskan bagi memastikan sistem serta perkhidmatan yang diaktifkan semula beroperasi dengan selamat dan lancar.

Sehubungan dengan itu, agensi tersebut meminta pendeposit yang mengesan transaksi luar biasa atau mempunyai sebarang pertanyaan dan bantuan untuk segera menghubungi Pusat Perhubungan TH (THCC) menerusi talian 03-6207 1919.

“TH merakamkan penghargaan atas kesabaran, kerjasama dan sokongan pendeposit sepanjang tempoh pemulihan ini. Sekali lagi kami memohon maaf dan amat kesal atas apa yang telah berlaku, namun langkah ini terpaksa dilakukan demi keselamatan simpanan pendeposit,” menurut kenyataan itu.


Sumber:BERNAMA