Siakap Keli
Gambar: Fox 32 Chicago

Esofagus Dan Trakea Berlubang, Budak 17 Bulan Dilapor Maut Akibat Tertelan Bateri

Seorang wanita di Texas, Amerika Syarikat telah memfailkan tindakan undang-undang dan memberi amaran kepada ibu bapa yang lain selepas anaknya yang berusia 17 bulan meninggal dunia pada bulan lalu kerana tertelan bateri, lapor Fox 32 Chicago.

Pada 31 Oktober lalu, wanita berkenaan menyedari bahawa anak perempuannya seakan termengah-mengah. Mengesyaki bahawa dia mungkin demam, wanita tersebut telah membawa anaknya itu ke berjumpa dengan pakar pediatrik, yang kemudiannya mendiagnosis kanak-kanak itu dengan jangkitan croup, jangkitan saluran pernafasan yang biasa terjadi kepada kanak-kanak, menurut Mayo Clinic.

Keluarga itu telah ke rumah bersama dengan mangsa dan mereka kemudiannya mendapati bahawa sebiji bateri telah hilang daripada peranti yang digunakan untuk mencari alat kawalan jauh pada keesokan harinya.

Wanita tersebut kemudiannya terus membawa anaknya itu ke bilik kecemasan, mengesyaki bahawa anak perempuannya mungkin telah menelan bateri kecil tersebut.

“Mereka menjalankan sinar-X dan dalam masa 30 minit mereka telah mengesahkan bahawa bateri itu ada di dalam tubuhnya,” kata wanita tersebut kepada FOX Television Stations pada Selasa.

Wanita terbabit menjelaskan bahawa imbasan CT kemudiannya menunjukkan bahawa esofagus dan trakea mangsa telah berlubang.

Beberapa minggu berikutnya, mangsa telah menghabiskan masa keluar masuk hospital untuk menjalani rawatan. Namun keadaan gadis kecil itu tidak beransur pulih.

Dia dilaporkan meninggal dunia pada 17 Disember 2020, menurut Foz 32 Chicago.

“Laporan autopsi menyatakan bahawa dia telah meninggal dunia akibat daripada komplikasi oleh bateri yang ditelannya,” kata wanita tersebut.

Kini, ibu kepada mangsa mahukan undang-undang dan peraturan keselamatan baru dikuatkuasakan untuk mengelakkan benda yang terjadi kepada anaknya itu daripada berlaku kepada kanak-kanak lain.

“Saya tidak mahu melihat kejadian ini berlaku kepada keluarga dan kanak-kanak lain,” katanya.

Wanita tersebut menyatakan bahawa dia akan berusaha untuk mengubah undang-undang yang memaktubkan skru pada peranti yang mengandungi ruang untuk bateri. Dia juga mahukan syarikat membuat bateri, membuat bateri yang kurang berbahaya sekiranya tertelan.

Dia juga turut memulakan halaman Facebook, “Pray for Reese Hamsmith” dan halaman Instagram untuk menghantar bahan pendidikan kepada ibu bapa dan kakitangan perubatan yang lain bagi membantu mendiagnosis masalah kepada kanak-kanak yang sakit.

Dia juga turut ingin memastikan kecederaan dan kematian yang membabitkan bateri diambil serius.

Sumber: Fox 32 Chicago

Aqmal Ezany

I write what is right