Siakap Keli
Gambar: Bernama

Penyudah Tumpul Jadi Penyebab Tok Gajah Berputih Mata

KUANTAN, 11 Mac (Bernama) — Penyudah yang tumpul di dalam kotak penalti oleh barisan penyerang dan dua kesilapan semasa aksi 90 minit perlawanan menjadi penyebab kepada Skuad Sri Pahang FC tumbang 0-2 di laman sendiri dalam saingan Liga Super malam tadi.

Ketua Jurulatihnya, Thomas Dooley berkata kelemahan itu perlu diperbaiki segera bagi mengelakkan situasi sama berlaku pada perlawanan akan datang sekiranya skuad kendaliannya mahu mengutip tiga mata penuh.

“Kami tidak mahu berada dalam situasi ini pada awal musim, tetapi saya beritahu pasukan bahawa saya masih berpuas hati dengan persembahan mereka malam ini (malam tadi)… Ini kerana mereka telah bermain dengan baik, menyusun serangan tetapi malangnya gagal melakukan penamat.

“Masalah utama yang menyumbang kepada kekalahan Sri Pahang selain dua kesalahan di depan pintu gol ialah pemain dapat masuk ke kotak penalti tetapi tidak dapat menjaringkan gol,” katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan di Stadium Darul Makmur.

Pada perlawanan itu, Tok Gajah gagal memanfaatkan peluang bermain di laman sendiri apabila Perak FC meledakkan gol pertama menerusi Partiban K. Janasekaran pada minit ke-43 disusuli gol kedua pada minit ke-59 melalui Muhammad Farhan Roslan.

Dooley yang merupakan bekas pemain kebangsaan Amerika Syarikat itu berkata bagi mengatasi masalah itu, beliau akan menunjukkan kesilapan yang dilakukan anak buahnya menerusi rakaman video perlawanan bagi memberi kesedaran apa yang boleh diperbaiki dalam aksi seterusnya.

“Saya mahu pemain sedar dan belajar untuk melakukan keputusan yang lebih baik semasa bermain. Saya percaya semua kelemahan dapat diatasi dan pasukan ini mempunyai pemain berkualiti untuk terus maju pada musim ini,” katanya.

Sementara itu, pengendali Perak FC, Chong Yee Fat gembira dengan kemampuan pasukannya menzahirkan apa yang sudah dirancang dalam latihan, sehingga membolehkan mereka berjaya mengutip mata berharga di tempat lawan.

“Kami tidak menjangkakan kemenangan ke atas Sri Pahang, sebaliknya kami datang dengan sikap positif dan amat fokus semasa perlawanan.

“Saya sudah menasihatkan pemain bahawa peluang tidak selalu datang dan apabila pihak lawan melakukan kesilapan kita perlu tamatkan dengan keputusan positif dan inilah yang berjaya dilakukan,” katanya.

Sumber: BERNAMA

" "