Siakap Keli

Kerap Kalah Di Anfield, Nama “Home Ground Stadium” Liverpool Bertukar Ke Puskas Arena?

Bagi peminat bola sepak khususnya pengikut setia Liga Perdana Inggeris, pastinya mengetahui bahawa aksi juara bertahan, Liverpool ketika turun di gelanggang sendiri, Anfield musim ini tidaklah begitu mengujakan.

Walaupun bermula dengan baik di awal liga, hingga sempat berada di posisi nombor, namun deretan kekalahan demi kekalahan di laman sendiri menyaksikan kedudukan Liverpool selepas 29 perlawanan merudum sehingga tempat keenam dan berpeluang dipintas oleh Everton dan Spurs sekiranya menang perlawanan ke-29 masing-masing.

Namun, berbeza dengan aksi di saingan Eropah iaitu di Liga Juara-juara, Liverpool nampaknya tidak mempunyai masalah untuk merebut slot ke pusingan 8 terbaik.

Berbekalkan aksi cemerlang bertemu pesaing kejuaraan Bundesliga, RB Leipzig di gelanggang berkecuali, Puskas Arena di Budapest, Hungary, Liverpool berjaya menang kedua-dua pertemuan pusingan 16 dengan agregat 4-0.

Lucunya, semakan di laman web Premier League, nama “Home Stadium” Liverpool yang sepatutnya ditulis Anfield kini bertukar kepada Puskas Arena?

Walaupun tidak dapat dipastikan apa tujuannya, namun perkara berkenaan sudah menjadi viral di Twitter dan turut dikongsikan oleh pengendali twitter Anfield Watch.

Mungkin sekadar gurauan, namun yang pastinya bagi peminat Liverpool, tiada stadium lain yang mampu menggantikan stadium keramat kelab, Stadium Anfield.

Sumber: Premier League

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.