Siakap Keli

Dipercayai Jadi Tempat Roh Orang Mati, Kisah Danau Kelimutu Di Indonesia Ada Tiga ‘Tasik’ Yang Warna Airnya Berubah Setiap Saat

Asia merupakan sebuah benua yang istimewa kalau nak dibandingkan antara ketujuh-tujuh benua yang ada di seluruh dunia.

Selain sebagai benua paling besar di dunia, Asia juga ‘mengumpulkan’ pelbagai bangsa, agama dan negara yang masing-masing mempunyai warna kulit, budaya dan fahaman yang berbeza.

Jika kita ‘zoom in’ lagi, kawasan paling memukau dalam keseluruhan benua adalah di Asia Tenggara, iaitu tempat berdirinya negara-negara kepulauan Melayu (dulu) seperti Malaysia, Indonesia, Borneo dan sebagainya.

Jika kita ‘zoom in’ lagi di Indonesia, kita akan nampak ada satu kawasan danau menarik di puncak gunung. Dikatakan danau itu dipercayai boleh berubah-ubah warnanya setiap saat. Di manakah danau itu?

Danau Kelimutu @ Danau Tiga Warna

Gambar: Facebook

Seakan namanya yang unik, Danau Kelimutu ini terletak di Pulau Flores, wilayah Nusa Tenggara Timur di Ind0nesia. Apa yang menariknya tentang danau ini adalah warna air yang terkandung dalam danau di puncak gunung itu boleh bertukar-tukar.

Terdapat tiga gunung yang ‘mendiami’ pulau ini dan masing-masing setiap sebuah mempunyai danau di puncaknya. Air di danau inilah yang menjadi ‘subjektif’ cerita tentang ‘danau tiga warna’ ini.

Dikatakan setiap danau di gunung itu mempunyai warna berbeza. Ada yang airnya berwarna putih, ada yang berwarna merah dan ada juga yang berwarna biru. Difahamkan ketiga-tiga warna ini saling berubah-ubah mengikut waktu dan keadaan semasa.

Jadi apakah yang dimaksudkan dengan tiga warna tersebut? Menurut sejarah Indonesia, kesemua warna pada danau itu ada maksudnya yang tersendiri. Jom lihat apakah maksud warnanya itu:-

  • Danau biru: disebut Tiwu Nuwa Muri Koo Fai, merupakan tempat berkumpulnya roh-roh orang muda (lelaki & perempuan) yang baik
  • Danau merah: disebut Tiwu Ata Polo, merupakan tempat berkumpulnya roh-roh orang yang telah meninggal dunia dan selama (ketika) ia hidup, selalu melakukan kejahatan
  • Danau putih kehijauan: disebut Tiwu Ata Mbupu, merupakan tempat berkumpulnya roh-roh orang tua yang telah meninggal dunia
Gambar: Facebook

Menurut kepercayaan masyarakat di sekitar pulau itu, setiap kematian (individu) haruslah dipersembahkan dengan satu persembahan pemujaan sebagai tanda penghormatan kepada roh.

Pada mereka, ‘perjalanan’ roh yang keluar daripada jasad itu akan bersambung ke alam lain, di mana roh-roh itu dipercayai akan menuju ke danau-danau itu mengikut ‘takdir’ mereka.

Difahamkan, jika seseorang itu; sama ada lelaki atau perempuan yang ketika hidupnya sering berbuat kebaikan, maka rohnya akan menuju ke Tiwu Nuwa Muri Koo Fai.

Bagi yang golongan sebaliknya, iaitu yang sering melakukan kejahatan ketika hayatnya, rohnya akan menuju ke Tiwu Ata Polo, manakala orang-orang tua pula, roh mereka ditempatkan di danau ‘khas’ iaitu Tiwu Ata Mbupu.

Walaupun nampak macam kecil, tapi keluasan sebenar ketiga-tiga danau ini didakwa mencapai sehingga lebih satu juta meter persegi dengan isi padu airnya kira-kira 1.3 juta liter.

Satu perkara menarik tentangnya adalah kewujudan tiga danau ini ‘diabadikan’ dalam not wang kertas Rupiah Indonesia. Tertera jelas padanya imej danau tersebut beserta warnanya sekali.

Gambar: Facebook

Apa yang membuatkannya berubah warna?

Selain itu, perubahan warna yang berlaku di ketiga-tiga danau ini banyak faktornya. Meskipun daripada sudut fahaman, danau itu menjadi ‘dunia’ untuk para roh orang mati, namun ada beberapa hujah lain yang dinyatakan daripada sudut saintifik.

Perubahan yang dikatakan berlaku selang beberapa saat itu menimbulkan pelbagai teori, fahaman dan apatah lagi spekulasi. Ada yang berpendapat, warna danau itu berubah mengikut ‘keadaan’ roh-roh si mati yang ada di situ.

Manakala bagi hujah pakar geografi, mereka berpendapat bahawa warna-warna danau itu berpunca daripada tindak balas kimia atau proses semulajadi yang berlaku daripada dasar danau tersebut.

Dalam masa sama, ada juga yang berpendapat bahawa warna air danau itu bertukar-tukar mengikut suasana politik semasa negara. Memang agak pelik tapi inilah kepercayaan rakyat di sana.

Kalau ‘cuaca’ politik negara sedang aman, maka airnya akan menjadi putih kehijauan atau biru, manakala jika suasana politiknya sedang bergelut, maka air danau itu akan bertukar menjadi merah.

Namun, sejauh manakah ‘kebenaran’ tentang bagaimana air danau ini berubah, biarlah Allah dan sains yang ‘menjawabnya’. Wallahualam.

Sumber: Kompas / Pendaki Cantik

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'