Siakap Keli

Suami Hidap Penyakit ‘Misteri’ & Hilang Ingatan Setiap Kali Bangun Tidur, Isteri Terpaksa Setiap Pagi ‘Ingatkan’ Yang Mereka Sudah Berkahwin

Seorang wanita yang setia terpaksa mengingatkan suaminya setiap kali bangun tidur setiap hari bahawa mereka pasangan suami isteri yang saling mencintai selepas suaminya menghidap satu masalah kesihatan yang jarang-jarang berlaku.

Christopher Robin Turner, 36, berkata, apa yang dihadapinya mirip dengan jalan cerita sebuah filem berjudul 50 First Dates, dimana dia menderita narcolepsy, satu keadaan dimana penghidap sering mengalami mimpi dikenali sebagai halusinasi hypnagogic ketika tidur dan berdepan dengan masalah hilang ingatan apabila bangun keesokannya.

Disebabkan itu, isterinya, Chelsea, 28, perlu meninggalkan sekeping nota di dalam bilik tidur yang menerangkan secara ringkas siapa dirinya yang sebenar.

Antara lain, nota berkenaan mengandungi butiran seperti nama penuhnya, siapa isterinya, nama dua ekor anjing peliharaan mereka serta masalah kesihatan yang dihadapinya.

Menerima sokongan penuh dari isterinya, Turner berkata ia sedikit sebanyak membuatkan dirinya berasa tidak sendirian ketika berdepan dengan masalah tersebut.

”Dia menulis nota ini sejak 6 tahun yang lalu. Ia sangat mengharukan dan saya amat-amat menghargainya kerana ia sesuatu yang tidak diduga sama sekali bahawa akan ada seseorang yang betul-betul memahami apa yang sedang saya lalui,” katanya.

”Pernah terjadi insiden dimana saya bangun dan langsung tidak ingat apa-apa. Saya langsung tidak mengenali Chelsea dan saya merayau-rayau di dalam rumah, tertanya-tanya apa yang sedang berlaku.

”Saya sering mengalami mimpi yang sangat kuat, 2 3 kali setiap malam, ia seolah-olah satu realiti. Kadang-kadang, ia seolah-olah ‘menghidupkan’ semula masa lampau saya seperti sejarah hubungan lama. Apabila saya bangun, saya seolah-olah terperangkap dalam garis waktu itu dan tidak mengenali diri saya yang sekarang.

”Ia sangat-sangat realistik, hinggakan jika saya bermimpi disengat lebah, saya dapat merasakan kesakitan itu di dunia sebenar.

”Ada satu ketika, saya bermimpi berjalan berbatu-batu lamanya dan apabila saya bangun, saya merasa sangat sakit pada bahagian kaki.

”Ia mengambil masa untuk badan saya kembali pulih setelah bangun dari tidur,” katanya lagi.

Selain mengalami mimpi yang sangat realistik, Turner juga seringkali tertidur pada waktu yang tidak sepatutnya.

Katanya, pada usia 16 tahun, dia pernah tertidur ketika memandu dan terlibat dalam kemalangan. Setelah bertemu pakar, dia didiagnosis dengan keadaan berkenaan.

”Ketika itu, tiada siapa yang tahu mengenai narcolepsy dan internet belum wujud untuk kita mencari maklumat. Apabila saya bertemu neurologist, mereka mengatakan saya pengidap narcolepsy paling teruk pernah mereka temui.

”Dulu, saya boleh tertidur sepanjang hari. Tetapi setelah bertahun-tahun berusaha dan dengan bantuan perubatan, saya sudah mampu mengawal keadaan ini dengan lebih baik. Kini saya hanya tertidur sekali atau dua kali sahaja sepanjang hari.

”Bagaimanapun, jika saya bersin atau tertawa, saya perlu segera berpaut pada sesuatu dan perlu lebih banyak menghabiskan masa duduk di kerusi supaya saya tidak jatuh dengan ‘tiba-tiba’,” katanya.

Sumber: Metro UK

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'