Siakap Keli
Gambar: India Times, Parkview Health

Perompak Dilapor Menderita Serangan Jantung Setelah Nampak Wang Hasil Rompakan Terlalu Banyak

Seorang perompak di Uttar Pradesh, India dilaporkan terkena serangan jantung selepas mendapat tahu wang yang dirompaknya lebih daripada yang dijangkakannya.

Menurut India Times, selepas daripada itu, perompak tersebut dilaporkan telah menghabiskan sejumlah besar wang yang dicurinya bagi digunakan untuk menanggung kos rawatannya.

Plot yang tidak masuk akal itu terbongkar apabila salah seorang daripada dua perompak tersebut ditangkap pada bulan Februari lalu di kawasan Kotwali Dehat di Bijnor, menurut polis.

Superitendan Polis Bijnor, Dharam Veer Singh, menyatakan bahawa dua perompak telah memecah masuk ke sebuah pusat perkhidmatan awam milik seorang lelaki bernama Nawab Haider pada malam 16 dan 17 Februari.

Hal itu telah menyebabkan Haider membuat laporan kepada pihak polis, menyatakan lebih dari 7 juta Rs telah dicuri dari pusat tersebut. Polis lantas membuka kertas siasatan susulan daripada aduan tersebut dan melancarkan siasatan.

Pada Rabu, pihak polis mengaku bahawa mereka telah berjaya menyelesaikan kes tersebut selepas bejaya menangkap kedua-dua tertuduh.

“Tertuduh adalah pesalah biasa dan mempunyai beberapa kes yang dikaitkan dengan mereka di balai polis yang berlainan. Mereka mengakui bahawa mereka telah melakukan rompakan di pusat khidmat awam itu dan melarikan diri dengan wang tunai berjumlah Rs 7 juta serta barang berharga lain yang di simpan,” kata polis tersebut.

“Tertuduh memberitahu polis bahawa mereka fikir terdapat ribuan rupee sahaja di pusat itu, namun sangat teruja apabila mendapati terdapat sejumlah wang yang besar tersimpan di situ. Mereka membahagikan wang tersebut secara sama rata,” tambahnya.

Polis tersebut juga turut mendedahkan bahawa selepas melakukan rompakan itu, salah seorang daripada mereka telah mengalami serangan jantung.

Nasib tidak menyebelahinya selepas dia terpaksa dimasukkan ke sebuah hospital swasta dan harus menghabiskan sejumlah besar wang yang dicurinya itu untuk menampung kos rawatannya.

Sementara itu, seorang lagi menghabiskan wangnya untuk bertaruh di Delhi.

Pihak polis dilaporkan merampas wang tunai berjumlah Rs 370,000 serta dua pistol. Sebuah basikal yang dicuri dari kampung Phulsanda juga turut dilaporkan dirampas.

Sumber: India Times

Aqmal Ezany

I write what is right