Seorang remaja perempuan berusia 19 tahun di Skudai dilaporkan telah ditahan atas dakwaan memalsukan laporan keputusan calitan COVID-19.
Kata Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, ACP Dzulkhairi bin Mukhtar, tindakan itu susulan laporan pemilik sebuah restoran tempatan pada 6 April yang mendakwa telah menerima gambar sekeping surat melalui aplikasi Whatsapp daripada remaja tersebut yang mengakui dirinya positif COVID-19.
“Disebabkan itu, majikan restoran tersebut telah menutup restorannya dan pergi ke klinik bersama 12 lagi pekerja yang lain untuk membuat ujian calitan COVID-19.
“Hasil daripada ujian calitan mendapati kesemua pekerjanya termasuk majikan restoran adalah negatif COVID,” katanya.
Susulan itu, majikan tersebut telah bertanya kepada remaja berkenaan sebelum dia mengaku telah menipu majikannya kerana tidak lagi mahu bekerja di situ, tulis kenyataan tersebut.
“Menurut majikan itu, remaja itu adalah pekerja yang baharu sahaja satu hari diterima bekerja di restoran tersebut pada 5 April 2021,” tambahnya.
Berikutan itu, pihak polis telah menahan remaja berkenaan pada hari sama dan memohon perintah reman ke atas suspek.
Kes akan disiasat di bawah seksyen 420/468 Kanun Keseksaan atas tuduhan memalsukan laporan pemeriksaan ujian calitan COVID-19.
REMAJA DAKWA ADA COVID-19 KERANA TAKNAK KERJA
Posted by Polis Daerah Iskandar Puteri on Wednesday, April 7, 2021
Sumber: Polis Daerah Iskandar Puteri
BACA: Sebut Sahaja ‘Tokyo’ Terus Terbayang Kota Metropolitan, Rupanya Ada Keindahan Alam ‘Tersembunyi’