Siakap Keli

Pemuda Jepun & Kawan-kawan Turun Padang ‘Cuci’ Cyberjaya, Kutip 32kg Sampah Dalam Masa Sejam

Mengutip sampah adalah satu pekerjaan yang amat mulia sebenarnya. Memanglah kita nampak aktiviti itu biasa-biasa saja, malah kotor dan tidak selesa pun.

Tapi ketahuilah, apabila anda kutip saja secebis sampah kertas yang dibuang orang di tepi jalan, anda telah kurangkan satu kekotoran di situ. Itu baru secebis, kalau segenggam, sebakul? Begitulah perumpamaannya.

Ramai yang kita lihat cukup gemar menjadi sukarelawan yang ikhlas membersihkan alam sekitar ini secara sukarela. Bukan nak bermegah atau ‘tunjuk’ rajin, tapi biasanya ia dibuat daripada hati yang benar-benar sayangkan alam.

Bagi penduduk di Cyberjaya, mungkin anda tidak asing lagi dengan seorang pelajar Jepun yang menetap di wilayah elit ini, iaitu Nana. Nana menerusi laman Twitternya, NanaCyber selalu berkongsi rutinnya pada masa lapang iaitu mengutip sampah di sekitar Cyberjaya.

Semalam, sekali lagi Nana memuat naik beberapa keping gambar aktiviti mengutip sampah bersama rakan-rakan ‘seperjuangannya’. Kali ini, hasil ‘kutipan’ agak laku keras bila mana Nana berjaya mengutip sampah seberat kira-kira 32 kilogram dalam masa sejam!

Jom tengok gambar-gambar yang dikongsikan di Twitter Nana di bawah ini. Anda akan dapati bahawa pelbagai jenis sampah yang ditemui mereka hanya dalam tempoh 60 minit saja.

Gambar: Nana
Gambar: Nana

Difahamkan, projek ‘mini’ mengutip sampah ini dinamakan sebagai GPS Cleanup#1. Nana dan rakan-rakannya ‘turun padang’ semata-mata untuk mengutip sampah di sekitar kawasan Cyberjaya Mini Park pada Sabtu semalam.

Dengan hanya bermodalkan tenaga sukarelawan seramai 14 orang, beberapa beg plastik sampah dan sarung tangan, kesemua mereka mampu menjayakan ‘misi agung’ ini dengan mudah tanpa sebarang halangan.

Nak tahu tak apa yang mereka berjaya kumpulkan sepanjang misi berjalan semalam? Jumlahnya mungkin dilihat tidak banyak mana, tapi kalau nak dibandingkan dengan kesanggupan, keikhlasan dan ‘apa’ yang mereka kutip, ianya sesuatu yang perlu dibanggakan.

Difahamkan, Nana dan kumpulannya berjaya mengutip kira-kira 59 buah botol plastik, 10 tin minuman, 14 batang straw plastik, 21 cawan plastik, 17 botol kaca dan 97 tali pemotong rumput.

Tapi daripada banyak-banyak hasil kutipan ini, apa yang lebih mengejutkan adalah mereka turut berjaya mengutip kira-kira 168 puntung rokok..hanya di sekitar kawasan taman mini itu..hanya dalam tempoh 60 minit.

Bayangkan, 168 batang rokok itu hanya di sekitar situ saja. Secara kasarnya, seorang perokok biasanya akan menghisap sebatang rokok dalam satu masa untuk tempoh yang singkat; jika mereka datang ke taman itu untuk beriadah pada waktu pagi/petang.

Itu bermakna, sejumlah 168 orang perokok telah datang ke situ untuk beriadah (mungkin). Dengan saiz taman yang tidak sampai satu ekar luasnya, jumlah itu sebenarnya agak ‘padat’ dengan 168 orang.

Itu baru hanya Cyberjaya Mini Park, belum lagi seluruh Cyberjaya 12, belum lagi seluruh wilayah Cyberjaya..dan belum lagi kalau mahu kira seluruh daerah Sepang. Mungkin ada berapa ratus atau ribu lagi puntung rokok yang boleh dikutip, kan?

Gambar: Nana
Gambar: Nana

Apa yang dijalankan Nana dan rakan-rakan sukarelawannya ini haruslah dipuji. Kita sebagai orang awam dan warga maya @ netizen perlu menyanjung tinggi akan mereka.

Mungkin anda pernah terbaca sebelum ini, rakyat di Jepun tidak kiralah pangkat apa sekalipun, daripada orang tua, orang kaya, sehinggalah ke kanak-kanak tadika sekalipun, mereka begitu menghormati golongan pekerja pembersihan.

Malah golongan yang sinonim dengan istilah ‘makcik cleaner’, ‘abang kutip sampah’ ini dipercayai turut digelar sebagai hero alam sekitar. Punya tinggi ‘peranan’ mereka dalam hal ehwal kebersihan di sana.

Terima kasih Nana dan para sukarelawan yang sanggup kotorkan tangan mengutip sampah buangan manusia di sana. Semoga jasa dan kebaikan anda akan dibalas dengan manfaat yang berganda.

Moga kita juga mampu untuk mencontohi mereka pada satu hari nanti.

Sumber: Twitter Nana

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'